Sultan Selangor seru rakyat banteras rasuah, hormat-menghormati, bersatu padu

31 Dec 2024 • 7:08 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 31 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat untuk bersama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat sempena tahun baharu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah penguatkuasaan perlu dipertingkat selain mengutamakan nilai integriti memandangkan kegiatan rasuah yang berleluasa mampu meruntuhkan tamadun.

“Beta percaya untuk menjadi sebuah negara maju, rakyatnya haruslah saling hormat-menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu.

“Beta yakin sekiranya sekalian rakyat menggembleng usaha dan tenaga mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara, Malaysia akan menjadi negara yang lebih maju dan disegani pada tahun 2025 nanti,” titah Baginda.

Menerusi perutusan Tahun Baharu 2025 bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Baginda juga tidak mahu rakyat bertelagah yang akhirnya membawa sengsara.

“Jika masih kerap bertelagah, bukankah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala? Akibatnya rakyat yang akan menanggung sengsara hanya kerana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak,” titah Baginda.

image is not available

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved