Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 29 Jun menandakan berakhirnya penantian buat warga Klang dan Shah Alam apabila Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer telah pun beroperasi.
Sultan Selangor zahirkan rasa syukur projek LRT3 dah siap dan mula beroperasi, beri penghargaan kepada Najib Razak
Terbaharu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan projek laluan LRT3 Shah Alam yang akhirnya dapat direalisasikan untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat di Selangor.
Baginda turut memberikan penghargaan kepada Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendengar titahnya untuk mewujudkan satu kemudahan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam serta Kuala Lumpur.
Terima keluhan surirumah, suami pulang lewat dari tempat kerja kerana kesesakan lalu lintas
Menurut baginda perkara itu dimaklumkannya pada tahun 2015 dan menjelaskan kemudahan tersebut mahu dilakukan selepas menerima keluhan dan rintihan daripada surirumah mengenai kelewatan suami pulang dari tempat kerja dsebabkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lebuhraya Persekutuan.
“Ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk. Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018,” titah baginda.

Projek LRT3 tergendala pada tahun 2018-2021, kos pelaburan dikecilkan ketika Lim Guan Eng jadi Menteri Kewangan selain 5 lokasi stesen dibatalkan
Kata Sultan Selangor lagi projek tersebut juga pernah tergendala lebih 18 bulan selepas berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2018 dan tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehinggalah tahun 2021.
“Ketika itu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada DAP bersama Penasihatnya, Tony Phua dari DAP telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya ini merupakan projek ‘Mega’ sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta.
“Ketika Kementerian Kewangan (MOF) di bawah pentadbiran Guan Eng dan Tony Phua juga, saiz stesen telah dikecilkan dan jumlah gerabak keretapi dikurangkan. Lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga telah dibatalkan.”
Anwar Ibrahim teruskan semula projek, kembalikan 5 stesen yang dibatalkan dan bina rumah mampu milik untuk kemudahan rakyat
Baginda turut terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya bersetuju meneruskan projek berkenaan sebaik mengalas jawatan sebagai PM dan Menteri Kewangan.
Bahkan Anwar turut mengembalikan semula lima buat stesen yang sebelum ini dibatalkan dan membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen serta laluan LRT3.
Perkara itu adalah untuk memberikan kemudahan kepada rakyat di Selangor.
Sultan Selangor berharap LRT3 akan kurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, beri pilihan perjalanan lebih cepat kepada rakyat
“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas Beta ucapkan kepada Anwar Ibrahim.
“Beta berharap pembukaan LRT3 ini berupaya mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta memberikan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat khususnya yang tinggal di Klang dan Shah Alam dan bekerja di Kuala Lumpur.
“Beta juga berharap pihak Prasarana dapat menyelenggara dengan baik laluan LRT3 ini supaya dapat beroperasi dengan lancar dan sempurna,” titah baginda lagi dalam satu kenyataan.
Bahkan baginda juga tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan mendakwa kejayaan pelaksanaan LRT3 itu hasil mereka kerana hakikat sebenar ia adalah hasil kesinambungan perancangan, komitmen serta kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya.








