LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar

LocalPolitics
1 Jul 2026 • 4:07 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Sultan Selangor titah penghargaan kepada pemimpin berkaitan projek LRT3 Shah Alam

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan pelaksanaan projek LRT3 Shah Alam yang disifatkan sebagai kemudahan pengangkutan penting demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Baginda bertitah, projek berkenaan akhirnya dapat direalisasikan selepas melalui beberapa fasa perancangan, penangguhan serta perubahan dasar sejak lebih sedekad lalu, sebelum kembali diteruskan dengan penambahbaikan bagi memenuhi keperluan semasa rakyat.

Dalam titah perutusannya, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pada asalnya menerima cadangan pembinaan laluan rel menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur selepas mendapat maklum balas rakyat ketika itu.

Baginda turut menyentuh perkembangan projek tersebut yang pernah tergendala selepas pertukaran kerajaan pada 2018, serta melalui semakan kos dan reka bentuk oleh Kementerian Kewangan ketika itu yang diterajui Lim Guan Eng bersama penasihatnya Tony Pua, termasuk pengurangan saiz stesen dan pembatalan beberapa lokasi.

Baca juga:

Bagaimanapun, Sultan Selangor menzahirkan penghargaan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan semula projek tersebut dengan mengembalikan beberapa komponen asal serta merancang pembangunan perumahan mampu milik di sekitar laluan LRT.

Baginda menegaskan LRT3 bukan projek berprestij, sebaliknya satu kemudahan rakyat yang bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur yang sering menjadi tumpuan perjalanan harian.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa kejayaan projek ini adalah hasil kesinambungan pelbagai pentadbiran dan kerjasama semua pihak, bukan usaha mana-mana pihak secara individu.

Baginda turut berharap pihak pengendali, Prasarana Malaysia Berhad akan memastikan operasi dan penyelenggaraan LRT3 sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselesaan pengguna.

Titah baginda, kemudahan itu diharap menjadi pemangkin pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memperkukuh jaringan perhubungan antara pusat bandar utama di Lembah Klang.

The post LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved