Sultan Selangor Tidak Perkenan Cadangan Laksana Solat Jumaat di Shopping Mall – MAIS

8 Jul 2026 • 12:23 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Sultan Selangor Tidak Perkenan Cadangan Laksana Solat Jumaat di Shopping Mall – MAIS

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak memperkenan inisiatif menunaikan solat Jumaat di mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri Selangor.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, ketetapan itu dibuat selaras kuasa prerogatif baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor dalam menentukan hal ehwal pentadbiran agama Islam termasuk kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla.

Perkara itu diumumkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam satu kenyataan di laman Facebook pagi tadi (8 Julai).

Sultan Sharafuddin Tidak Perkenan Solat Jumaat Di Pusat Beli-belah Buat Masa Ini

Jelas Salehuddin Saidin, MAIS mengambil maklum pendirian Kerajaan Persekutuan melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berhubung dengan cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.

Bagaimanapun, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid, surau atau musolla adalah tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS di bawah seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Oleh itu, buat masa ini baginda Sultan tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli belah di Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Masjid & Surau Akan Kekurangan Jemaah Sewaktu Solat Jumaat

Ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor antaranya inisiatif itu akan menjejaskan usaha untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam.

“Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid-masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk mendirikan solat Jumaat di surau/musolla di pusat beli-belah.”

Lebih Sesuai Dirikan Solat Di Masjid & Surau Berbanding Di Pusat Beli-belah, Ada 448 Masjid & 379 Surau Di Selangor

Selain itu, beliau berkata bahawa 448 buah masjid dan 379 buah surau di Selangor pada ketika ini mampu menampung jumlah umat Islam sedia ada untuk mendirikan solat Jumaat.

Malah, masjid dan surau juga disifatkan sebagai rumah ibadah yang tinggi martabatnya jika dibandingkan dengan pusat membeli-belah yang mana kebiasaannya dijadikan tempat hiburan, rekreasi dan sebagainya.

“Solat Jumaat merupakan ibadah penting dan mulia bagi umat Islam dan ianya lebih sesuai didirikan di dalam masjid dan surau yang khusus dibina untuk umat Islam mengerjakan ibadah berbanding dengan pelaksanaannya di surau atau musolla yang berada di pusat beli-belah yang lazim dikaitkan sebagai tempat perniagaan, hiburan dan rekreasi bagi orang ramai tanpa mengira kaum dan agama.

“Bagi umat Islam yang bekerja pula, masa rehat yang ditetapkan adalah mencukupi untuk mereka bergerak ke masjid atau surau solat Jumaat yang berhampiran bagi mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Banyak Perkara Perlu Diuruskan Termasuk Pelantikan Imam & Bilal – MAIS

Mengulas lanjut, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum membenarkan aktiviti solat Jumaat di pusat beli-belah. Ini termasuklah pelantikan imam, bilal, petugas untuk hal pengurusan serta tadbir urus surau atau masjid tersebut agar menepati segala peraturan dan dasar yang telah ditetapkan.

“Dalam keadaan lain, jika petugas bagi surau kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tersebut tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyebabkan kesukaran dari aspek pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan surau/musolla tersebut termasuk memastikan pematuhan dan keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak MAIS,” tambahnya.

Hanya 1 Sahaja Surau Di Pusat Membeli-belah Sekitar Selangor Yang Dapat Kebenaran Sementara Untuk Tunai Solat Jumaat

Salehuddin berkata, ketika ini hanya sebuah surau sahaja di pusat beli-belah sekitar Selangor yang diberikan kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat atas faktor tiada masjid berhampiran.

Beliau berkata, kebenaran sementara itu akan ditarik semula sekiranya sebuah masjid dibina berhampiran lokasi terbabit yang mampu menampung keperluan penduduk Islam di kawasan sekeliling.

Sebagai info, bermula 6 September 2024 yang lalu, musolla IOI City Mall, Putrajaya telah memulakan solat Jumaat. Menurut IOI City, solat Jumaat tersebut mendapat kerjasama daripada Pejabat Agama Islam Sepang.

View this post on Instagram

A post shared by BuzzKini (@buzzkini)

Baca Artikel Berkaitan: IOI City Mall Putrajaya Sedang Mencari Imam Solat Fardu, Terbuka Untuk Semua Masyarakat!

Beberapa Negeri Berhasrat Untuk Laksanakan Solat Jumaat Di Musolla Pusat Beli-belah – Dr Zulkifli Hasan

Sebelum ini, Dr Zulkifli Hasan memaklumkan bahawa kerajaan mengalu-alukan usaha mana-mana pentadbiran negeri untuk mewujudkan inisiatif solat Jumaat di pusat beli belah sebagai usaha memperluaskan kemudahan kepada umat Islam.

Jelasnya memetik Harian Metro, terdapat beberapa buah negeri yang telah menyatakan minat untuk melaksanakan inisiatif tersebut, namun belum dapat berkongsikan perinciannya kerana masih di peringkat perbincangan.

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Yang Tak Tahu! Lelaki Tunjuk Tempat Boleh Tunai Solat Jumaat Di KLIA 1 [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Pemuda Non-Muslim Ikut Solat Jumaat Tidak Langgar Hukum Syarak – Dr Izhar Ariff

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved