Sultan Selangor tidak memberi perkenan kepada mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri itu untuk mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri.
Utusan Malaysia Menurutnya, jika surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan mengadakan solat Jumaat, ia dikhuatiri menjejaskan usaha mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam.
“Sekiranya surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan mendirikan solat Jumaat, ia akan menjejaskan usaha memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam.
“Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan apabila umat Islam mempunyai pilihan untuk mendirikan solat Jumaat di pusat beli-belah,” katanya.
Salehuddin berkata, ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau yang diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat di Selangor, dan jumlah itu mencukupi untuk menampung umat Islam di negeri berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat juga masjid dan surau solat Jumaat berhampiran pusat beli-belah bagi memudahkan orang ramai menunaikan ibadah tersebut.

“Solat Jumaat merupakan ibadah penting dan mulia bagi umat Islam serta lebih sesuai didirikan di masjid dan surau yang khusus dibina untuk tujuan ibadah.
“Pelaksanaannya di surau atau musolla pusat beli-belah yang lazimnya dikaitkan dengan tempat perniagaan, hiburan dan rekreasi perlu diperhalusi,” katanya.
Dalam masa sama, MAIS perlu mengambil kira aspek pelantikan imam, bilal, petugas serta tadbir urus surau atau musolla terbabit supaya menepati peraturan ditetapkan.
MAIS turut menyeru umat Islam di Selangor agar terus mengimarahkan masjid dan surau sebagai pusat ibadah serta perpaduan umat Islam. – UTUSAN MALAYSIA
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

"Suka Atau Tidak, Inilah Takdirnya" - Pelajar Ijazah Pengurusan Binaan Hidap Barah Reda Kaki & Tangan Terpaksa Dipotong
The post Sultan Selangor Tidak Perkenan Solat Jumaat Di Surau Pusat Beli-Belah first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





