Sultan Selangor tunai solat sunat Aidilfitri bersama 15,000 jemaah

LocalPolitics
21 Mar 2026 • 10:06 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 21 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 15,000 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pagi ini.

Baginda berangkat dengan lengkap berpakaian baju Melayu berwarna hijau, diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

image is not available
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bersalaman bersama jemaah sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Keberangkatan baginda disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan kepemimpinan pentadbiran negeri.

Baginda turut berkenan bertakbir raya bersama jemaah sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri, seterusnya mendengar khutbah Aidilfitri yang disampaikan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir bertajuk Syawal Permulaan Baru.

Antara intipati khutbah tersebut ialah seruan agar umat Islam mengagungkan Allah SWT dengan penuh keimanan melalui lafaz takbir, tahmid serta rasa syukur atas kesempatan menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

image is not available
Orang ramai menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Umat Islam juga diseru mencontohi sifat sabar dan tawakal Nabi Muhammad SAW serta para sahabat, selain tidak gentar menghadapi cabaran dalam mempertahankan agama Allah SWT.

Selain itu, bulan Syawal disifatkan sebagai permulaan baharu untuk kembali kepada fitrah dengan terus meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT.