Seruan jihad fisabilillah dari Masjid Al-Aqsa: NGO seru umat Islam bangkit daripada tidur

LocalPolitics
21 Mar 2026 • 3:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pihak berkuasa Israel melarang solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, dengan alasan sekatan keselamatan yang dikenakan susulan serangan Israel ke atas Iran. Gambar fail Bernama

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama dua badan bukan kerajaan (NGO) lain iaitu Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Masjid Sedunia Membela Masjid Al Aqsar (Manar) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zionis Israel menutup Masjid Al-Aqsa serta menghalang umat Islam untuk menunaikan ibadah.

Tiga NGO itu dalam kenyataan bersama menegaskan, tindakan sedemikian adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan kebebasan beragama.

Menurut kenyataan tersebut, ketiga-tiga NGO turut menolak alasan 'keselamatan' yang dijadikan justifikasi kepada penindasan sistematik.

"Kami mengecam sikap diam dan gagal bertindak oleh sebahagian negara serta institusi dunia Islam.

"Isu ini tidak boleh dinormalisasikan dan dibiarkan berlalu tanpa tindakan.

"Justeru, kami menyeru pemimpin negara Islam untuk mengambil pendirian tegas dan bersatu dalam menggerakkan tekanan diplomatik serta strategik, bukan lagi sekadar mengeluarkan kenyataan tanpa tindakan," katanya pada Sabtu.

Kenyataan itu menambah, golongan ulama dan cendekiawan perlu memperjelaskan kedudukan Al-Aqsa dalam akidah masyarakat, membangkitkan kesedaran secara berterusan serta menyatukan umat atas prinsip kebenaran.

Bukan itu sahaja, katanya, masyarakat sivil dan umat Islam perlu memainkan peranan dengan memperkukuh solidariti global, menyebarkan kesedaran, menyokong usaha kemanusiaan serta advokasi.

"Masjid Al-Aqsa bukan milik rakyat Palestin sahaja. Ia amanah seluruh umat Islam.

"Kita mungkin tidak berada di sana, tetapi kita bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di sana.

"Sejarah tidak menilai siapa yang tahu, tetapi siapa yang bertindak. Hari ini Al-Aqsa memanggil. Persoalannya, adakah umat akan terus tidur atau bangkit mempertahankan maruahnya?" soalnya.

Justeru, ketiga-tiga NGO berkenaan menyeru umat Islam di seluruh dunia untuk bangkit daripada tidur yang panjang dan tidak melihat isu Al-Aqsa sebagai jauh atau terpisah.

"Zionis Israel semakin berani mencabar kesucian Al-Aqsa, status quo sedang diubah secara sistematik, agenda penguasaan penuh semakin jelas dan terbuka malah Ramadan dan Raya dijadikan medan penindasan, bukan lagi ruang ibadah.

"Apa yang berlaku di Al-Aqsa adalah cerminan kelemahan umat, ujian kepada kesatuan dan amanah dipertanggungjawabkan ke atas kita semua.

"Jika hari ini kita diam, esok kita akan menyaksikan lebih banyak pencabulan terhadap tempat suci Islam," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Masjid Al-Aqsa ditutup dan disekat aksesnya oleh rejim Israel.

Rakyat Palestin khususnya dihalang untuk mengimarahkan masjid yang merupakan kiblat pertama umat Islam ketika Ramadan hingga menjelang Hari Raya Aidilfitri.