
KUALA LUMPUR – Sumbangan ihsan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock bukan bertujuan untuk menutup kes, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Menurut Loke, ia tidak bersyarat dan keluarga Beng Hock bebas untuk menyuarakan pandangan termasuk usaha menuntut keadilan bagi mendiang.
“Kes ini masih belum diselesaikan dan masih terbuka. Menerima sumbangan tersebut tidak bermaksud mereka bersetuju untuk menyelesaikan kes itu. Sama sekali tidak.
“Sumbangan ihsan ini adalah satu bentuk bantuan daripada kerajaan kepada anak Beng Hock, yang berusia 15 tahun pada tahun ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan turut disertai oleh Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching; Pengerusi DAP Selangor,Ng Sze Han dan Naib Pengerusi Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Pada sidang media itu, pemimpin-pemimpin DAP tersebut turut tunduk hormat selama kira-kira 30 saat, sebagai menzahirkan rasa hormat, maaf dan dan sedih kepada keluarga mendiang Beng Hock.
“Memandangkan siasatan masih belum selesai dan hasilnya masih belum memenuhi harapan keluarga Teoh, DAP menunduk hormat kepada keluarga Teoh sebagai tanda penghormatan dan permohonan maaf,” kata Loke.
Pada Rabu, SPRM berkata pihaknya bersedia memberikan sumbangan ihsan kepada keluarga bekas mendiang Teoh Beng Hock bagi tujuan kebajikan dan pendidikan anaknya, namun jumlahnya akan ditentukan kelak.
Selain itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh 16 tahun.
Bagaimanapun, pada sidang media semalam, keluarga Beng Hock menolak permohonaan maaf itu dan menyifatkan SPRM tidak ikhlas.
Malah, adik perempuan mendiang, Teoh Lee Lan, 45, berkata, niat SPRM yang ingin memberikan sumbangan ihsan kepada anak mendiang merupakan tindakan yang memalukan keluarga mereka.
Dalam pada itu, Loke berkata DAP akan terus memperjuangkan keadilan untuk keluarga Beng Hock sekiranya terdapat bukti baharu, dan parti itu juga akan menyediakan bantuan guaman kepada keluarga tersebut.
Mengulas mengenai permohonan maaf oleh SPRM, Loke memberitahu, ia adalah permohonan maaf secara terbuka yang pertama oleh SPRM kepada keluarga mendiang.
“Ia telah tertangguh terlalu lama. Dalam tempoh 16 tahun ini, inilah kali pertama SPRM membuat permohonan maaf secara terbuka,” tambah beliau.
Mendiang Teoh Beng Hock ditemui maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat SPRM.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh, serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kes kematiannya.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat bunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock, sekali gus memutuskan kematiannya adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Pada 22 Mei lalu, kes kematian Teoh Beng Hock telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan keputusan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) setelah meneliti dan mengkaji semua keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh polis. - 17 Julai, 2025
The post Sumbangan ihsan SPRM tidak bersyarat, keluarga Teoh Beng Hock boleh terus tuntut keadilan: Loke appeared first on Scoop.
