Sumbat Mulut Anak Dengan Vape, Lelaki Berdepan Hukuman Penjara 20 Tahun

9 Aug 2022 • 11:15 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Niat seorang lelaki ingin bergurau mengundang padah setelah kelakuannya memasukkan vape ke dalam mulut bayi berusia 7 bulan di kedai makan itu tular dan menyebabkan dia telah ditahan oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Polis, Rupiah Abd Wahid berkata, lelaki berusia 28 tahun itu telah ditahan polis pada jam 12.45 tengah hari semalam.

“Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan polis berkenaan kejadian tersebut pada 6 Ogos 2022 jam lebih kurang 2.56 petang yang dibuat oleh ibu kepada bayi berkenaan.”

image is not available

Menurut Rupiah, suspek merupakan kenalan kepada adik perempuan pengadu. Katanya, ketika kejadian ibu bersama bayi tersebut dan adik perempuannya serta suspek sedang berada di sebuah kedai makan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

“Suspek yang memangku mangsa kemudiannya dengan niat bergurau telah meletakkan vape yang tidak berfungsi di mulut mangsa dan kejadian itu telah dirakam oleh adik perempuannya.”

Rakaman tersebut telah dikongsikan di media sosial adik perempuannya sebelum tular dan mendapat kecaman hebat netizen.

image is not available

Memetik laporan Awani, Rupiah mengatakan bahawa, suspek telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Johor Bahru Utara.

“Suspek yang juga seorang peniaga akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada Selasa bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.”

“Kertas siasatan bagi kes ini telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.”

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.