SumiSaujana catat pendapatan RM36.9 juta pada Q2 FY25

27/08/2025 - 18:40
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 27 Ogos – SumiSaujana Group Berhad dan anak syarikatnya mencatatkan hasil kukuh pada suku kedua FY25 dengan pendapatan RM36.9 juta.
Kumpulan juga merekodkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) RM2.1 juta, menunjukkan ketahanan operasi dan kekuatan margin SumiSaujana dalam industri bahan kimia khas minyak dan gas (O&G).
Pendapatan suku kedua itu disumbangkan oleh pasaran Thailand dan Malaysia, masing-masing RM12.3 juta dan RM9.2 juta, mewakili lebih separuh daripada jumlah pendapatan.
Pasaran lain termasuk Indonesia, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
Keuntungan kasar meningkat kepada RM13.2 juta dengan margin kasar 35.7%, berbanding 30.4% pada suku sebelumnya.
PBT dilaporkan termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja RM1.2 juta dan kerugian pertukaran asing RM2 juta.
PBT diselaraskan tanpa item bukan berulang ialah RM5.3 juta, lebih tinggi berbanding RM4.1 juta pada suku pertama FY25.

Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, Norazlam Norbi berkata, momentum kukuh di pasaran teras dan pasaran baharu disokong permintaan stabil bagi bahan kimia khas untuk penggerudian, pengeluaran dan penapisan.
“Dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh selepas penyenaraian, kami yakin dapat merebut lebih banyak peluang di Asia Pasifik, Timur Tengah dan Amerika Syarikat sambil memacu inovasi dan kelestarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang suku kedua, anak syarikat milik penuh SumiSaujana, Sumisaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd, memperolehi kontrak di Sarawak yang melibatkan pembekalan bahan kimia khas, tenaga kerja, logistik dan sokongan teknikal, mengukuhkan kerjasama jangka panjang dengan pengendali utama sektor hulu O&G Malaysia.
SumiSaujana kekal optimis terhadap prospek industri walaupun terdapat ketidaktentuan global, termasuk perubahan tarif, ketegangan geopolitik dan turun naik harga minyak.
Aktiviti penggerudian dijangka meningkat di pasaran seperti Thailand dan Indonesia.
Sejak penyenaraian SumiSaujana di Pasaran ACE pada April 2025, syarikat telah melaksanakan pelan penggunaan IPO termasuk pengambilalihan kilang baharu di Puncak Alam, pengembangan bahagian R&D dan pelaburan dalam inisiatif kelestarian seperti pemasangan sistem solar fotovoltaik.
SumiSaujana menegaskan komitmennya untuk mencipta nilai jangka panjang bagi pemegang saham melalui inovasi, pengembangan dan amalan lestari. - DagangNews.com
standard

