Tiada perselisihan faham dengan penganjur, RXZ Members boleh diteruskan seperti biasa di Terengganu - Menteri Besar

27/08/2025 - 18:21
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 27 Ogos – Kerajaan Terengganu sentiasa mengalu-alukan sebarang penganjuran program berskala besar termasuk RXZ Members di negeri itu pada masa akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sentiasa meraikan minat dan hobi rakyat, malah memberi sokongan terhadap penganjurannya.
Beliau turut menafikan wujudnya perselisihan faham dengan penganjur RXZ Members 7.0 yang berlangsung baru-baru ini.
“Apa yang berlaku (muat naik status di Facebook) adalah bertujuan memberi penjelasan kepada semua pihak mengapa saya tidak hadir ke program itu.
“Saya tidak mahu ada yang beranggapan saya tidak hadir tanpa sebarang sebab. Saya tidak mahu dipersalahkan dan sebab itu penjelasan dibuat (melalui Facebook),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu aktiviti permotoran itu selepas kontroversi yang timbul baru-baru ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri merasmikan Pelancaran Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik Secara Penswastaan di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Ditanya mengenai kenyataan terbaharu penganjur RXZ Members yang mengakui ada menerima sokongan kewangan daripada kerajaan negeri pula, Ahmad Samsuri berkata, ia adalah komitmen Terengganu untuk menjayakan program tersebut.
“Memang ada bantuan kewangan diberi dan jumlahnya bergantung pada keperluan semasa, cuma saya tidak mahu dedahkan jumlahnya secara terperinci.
“Penganjur juga ada menghantar surat untuk mengadakan pertemuan dan bagi kerajaan negeri, kita sentiasa sokong apa sahaja program yang bermanfaat untuk rakyat dari segi ekonomi dan pelancongan,” katanya. - DagangNews.com
standard

