SumiSaujana jalin kerjasama dengan firma China, CoolisT bangunkan industri berasaskan minyak sayuran

LocalBusiness & Finance
10 Dec 2025 • 2:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SumiSaujana jalin kerjasama dengan firma China, CoolisT bangunkan industri berasaskan minyak sayuran
image is not available
haziq10/12/2025 - 14:53 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Dis – SumiSaujana Group Bhd, bekerjasama dengan CoolisT Group dari China untuk membangunkan dan mengkomersialkan bio-poliol berasaskan minyak sayuran boleh diperbaharui bagi pembuatan buih poliuretana untuk industri perabot dan tilam.

 

Langkah berkenaan dicapai melalui anak syarikatnya SumiSaujana TCM Chemicals Sdn Bhd, yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk melaksanakan program tersebut.

 

Di bawah MoU berkenaan, SumiSaujana TCM Chemicals yang telah membangunkan formulasi bio-poliol proprietari berasaskan minyak tumbuhan boleh diperbaharui akan bertindak sebagai pembangun teknikal dan pengeluar bio-poliol, selain mengetuai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), ujian skala perintis serta proses pensijilan.

 

Syarikat itu juga akan bekerjasama, jika perlu, dengan agensi penyelidikan tempatan seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi tujuan pengesahan teknikal dan pematuhan piawaian.

 

SumiSaujana dalam kenyataan hari ini berkata, MoU ini memberi peluang kepada kumpulan untuk meluaskan penawaran produk, meningkatkan keupayaan teknikal, serta membuka laluan bagi pengeluaran, pembuatan, pemasaran dan penjualan bio-poliol ke pasaran antarabangsa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif SumiSaujana, Norazlam Norbi berkata kerjasama itu merupakan langkah strategik penting dalam usaha kumpulan untuk berkembang melangkaui segmen bahan kimia khusus minyak dan gas kepada aplikasi industri mampan berpertumbuhan tinggi.

 

“Dengan menggabungkan keupayaan teknikal SSTCM dan kepakaran pembuatan serta akses pasaran antarabangsa CoolisT Group, syarikat meletakkan SumiSaujana di barisan hadapan inovasi bahan poliuretana berasaskan bio.

 

“Kerjasama ini bukan sahaja menyokong agenda Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta kelestarian kumpulan, malah membuka laluan pertumbuhan baharu dalam ekonomi kitaran global,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard