GFM Services perbaharui MoU dengan UTHM kukuhkan kerjasama akademik-industri

LocalBusiness & Finance
9 Dec 2025 • 4:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GFM Services perbaharui MoU dengan UTHM kukuhkan kerjasama akademik-industri
image is not available
liza09/12/2025 - 16:42 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Dis – GFM Services Berhad (GFM), penyedia perkhidmatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu (IFM) memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada satu majlis menandatangani rasmi di Kampus Pagoh UTHM.

 


Ia bagi mengukuhkan perkongsian strategik jangka panjang antara kedua-dua organisasi dan menegaskan hasrat bersama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan industri.

 

MoU asal telah ditandatangani pada 24 November 2022 dan telah menjadi asas kerjasama selama tiga tahun. MoU baharu berkuat kuasa pada 25 November 2025 dan berlanjutan selama tiga tahun lagi.

 

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama akademik-industri dan penyampaian inovasi berterusan dalam bidang pengurusan fasiliti.

 

Sepanjang tiga tahun lalu, GFM dan UTHM telah melaksanakan beberapa inisiatif bersama termasuk penglibatan dalam UTHM Career Fair – Techfusion Career Expo 2024, peranan GFM sebagai penasihat industri serta penganjuran bengkel dan kuliah jemputan untuk Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

 

Inisiatif ini menyokong usaha akademik UTHM dan pada masa sama memberikan pelajar dan kakitangan pendedahan praktikal tentang amalan industri sebenar.

 

Di bawah MoU yang diperbaharui, bidang kerjasama merangkumi inisiatif pembiayaan bersama, penerbitan akademik bersama, dan projek penyelidikan relevan untuk kedua-dua institusi.

 

Selain itu, MoU menyediakan peluang latihan industri, Protege Trainee iaitu penempatan industri untuk kakitangan akademik, serta program perkongsian ilmu dan kepakaran melalui latihan untuk kakitangan GFM dan UTHM.

 

Kerjasama ini juga merangkumi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbang kepada pembangunan komuniti dan sosial.

 

Pengarah Urusan Kumpulan GFM, Ruslan Nordin berkata, kerjasama dengan UTHM terus memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara akademik dan industri.

 

“Pembaharuan MoU ini mengukuhkan matlamat kami untuk menyokong kemajuan penyelidikan, pembangunan bakat, dan pendedahan praktikal bagi generasi profesional industri akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerjasama ini selaras dengan komitmen UTHM untuk memperkukuh kualiti akademik, keupayaan penyelidikan dan penglibatan industri di peringkat nasional dan antarabangsa, sekaligus membangunkan bakat yang bersedia menghadapi cabaran masa depan sektor pengurusan fasiliti.

 

Kesinambungan perkongsian ini menegaskan hasrat GFM untuk membina kerjasama jangka panjang dengan institusi pendidikan tinggi Malaysia, memupuk inovasi dan menyokong pertumbuhan berterusan sektor pengurusan fasiliti di negara ini. - DagangNews.com

Terkini standard