Sumud Flotilla: 12 Peserta Malaysia Termasuk Zizi Kirana & Heliza Helmi Ditahan Tentera Israel [Video]

2 Oct 2025 • 10:07 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Pada awal pagi tadi (2 Oktober), sekitar jam 2.03 pagi waktu Malaysia, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan beberapa Kapal Global Sumud Flotilla (GSF) telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.

Difahamkan, ketika ini, 13 rakyat Malaysia di atas lima kapal misi GSF terputus hubungan dengan SNCC dan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut ialah seramai 23 orang.

Lebih mendukacitakan, sebelum ini lapan peserta negara ini termasuk Zizi Kirana disahkan telah ditahan oleh tentera Israel setakat jam 6 pagi tadi.

Mulanya 8 peserta Malaysia dalam misi Sumud Flotilla ditahan tentera Israel

Perkara itu dimaklumkan menerusi mesej kecemasan yang dimuat naik di akaun Facebook Sumud Nusantara Official pada beberapa jam yang lalu.

Terdapat empat wakil Malaysia yang berada di atas kapal Sirius telah memuat naik video mesej kecemasan iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli.

Sementara itu di kapal Alma, tiga peserta Malaysia iaitu Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil juga memuat naik video mesej kecemasan yang sama.

12 peserta Malaysia sudah ditahan termasuk Heliza Helmi

Bagaimanapun, semakan terbaru kami di laman terbabit mendapati empat lagi peserta Malaysia termasuk Heliza Helmi dan Farah Lee juga telah ditahan oleh rejim zionis.

Dua lagi peserta terbabit adalah Danish Nazram dan adik kepada Heliza iaitu Hazwani Helmi. Mereka yang ditahan ini berada di dua kapal iaitu Hiu dan Grande Blu.

Sumud Nusantara Official memuat naik video kecemasan mereka sebagai tanda peserta-peserta ini sudah ditangkap tentera Israel.

Dengan laporan ini bermakna, 12 rakyat Malaysia telah ditahan iaitu:

  • Zizi Kirana (Huga)
  • Haikal Abdullah (Sirius)
  • Muaz Zainal (Sirius)
  • Zulfadhli Khairudin (Sirius)
  • Rusydi Ramli (Sirius)
  • Iylia Balqis (Alma)
  • Musa Nuwayri (Alma)
  • Sul Aidil (Alma)
  • Farah Lee (Grande Blu)
  • Danish Nazram (Grande Blu)
  • Heliza Helmi (Hiu)
  • Hazwani Helmi (Hiu)

Setakat 7.50 pagi tadi, seramai 17 aktivis Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC selepas kapal dinaiki mereka dipintas tentera Israel.

Menerusi pengesanan radar, 10 kapal berada dalam status diserang, manakala 13 lagi menghantar isyarat kecemasan (SOS).

Anwar gesa Israel bebaskan segera semua peserta misi Sumud Flotilla

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera.

“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan.

“Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.

“Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Malaysia akan ambil langkah tuntut Israel bertanggungjawab

Menurutnya, Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel khususnya apabila warganegara ini terlibat.

“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.

“Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan,” katanya lagi.