SHAH ALAM - Penglibatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 mencerminkan komitmen negara dan solidariti tinggi terhadap rakyat Gaza.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, amanah yang diberikan itu menunjukkan kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada komited dan kepemimpin Datuk Seri Amirudin.
"YAB Menteri Besar Selangor melalui idea, visi dan keprihatinan beliau terhadap isu dalam dan luar negara termasuk dunia Islam sentiasa mencerminkan nilai keadilan, keamanan sejagat dan kesederhanaan.
"Saya menyambut baik penglibatan YAB Menteri Besar Selangor dalam mengetuai misi tersebut.
"Penyertaan beliau menzahirkan bahawa Malaysia bukan sekadar negara yang bersuara dari jauh, tetapi negara yang pemimpinnya sanggup berada di barisan hadapan, dalam menyampaikan bantuan serta menunjukkan solidariti tinggi kepada rakyat Gaza," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, Malaysia merupakan negara utama, selain Iran dan Turki yang mana pemimpin utamanya memberikan sokongan penuh serta membantu golongan aktivis Pro Palestin.
Menurutnya, mahu rakyat Malaysia mendoakan agar delagasi dan sukarelawan itu sentiasa diberikan kesejahteraan dan perlindungan ALLAH SWT.
"Saya berharap agar misi kemanusiaan ini yang membawa 30 kontena bantuan bersamaan kira-kira 374 tan termasuk makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian, selamat sampai ke Gaza.
"Tembok halangan berjaya dipecahkan, membuka jalan kepada bantuan yang sangat diperlukan oleh rakyat Gaza," katanya.

