Sun PhuQuoc Airways lancar penerbangan Kuala Lumpur-Phu Quoc mulai 1 September 2026, tambang promosi serendah RM370

LocalTravel
5 Aug 2026 • 6:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sun PhuQuoc Airways lancar penerbangan Kuala Lumpur-Phu Quoc mulai 1 September 2026, tambang promosi serendah RM370 Image from: Sun PhuQuoc Airways lancar penerbangan Kuala Lumpur-Phu Quoc mulai 1 September 2026, tambang promosi serendah RM370 amree05/08/2026 - 18:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Industri pelancongan Malaysia dan Vietnam bakal menerima rangsangan baharu apabila Sun PhuQuoc Airways melancarkan penerbangan terus harian antara Kuala Lumpur dan Pulau Phu Quoc bermula 1 September 2026, sekali gus memudahkan akses pelancong serta memperkukuh hubungan pelancongan antara kedua-dua negara.

 

Laluan baharu itu menjadikan Malaysia destinasi antarabangsa ketujuh dalam rangkaian Sun PhuQuoc Airways, selain mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan utama Asia Tenggara yang menghubungkan pelbagai destinasi serantau dan global.

 

Syarikat penerbangan premium itu berkata, penerbangan terus berkenaan hanya mengambil masa kira-kira satu jam 35 minit, sekali gus menawarkan perjalanan yang lebih pantas dan selesa kepada rakyat Malaysia untuk menikmati Pulau Phu Quoc yang terkenal dengan pantai indah, gastronomi tempatan serta pelbagai tarikan pelancongan bertaraf dunia.

 

Penerbangan sulung dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phu Quoc pada 1.45 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.20 petang, manakala penerbangan pulang akan berlepas dari Kuala Lumpur pada 5.20 petang sebelum tiba di Phu Quoc pada 5.55 petang mengikut waktu tempatan.

 

Sun PhuQuoc Airways turut memperkenalkan konsep 'Resort in the Sky', yang menjadikan pengalaman percutian bermula sebaik sahaja penumpang menaiki pesawat, selaras dengan aspirasi syarikat untuk menawarkan perkhidmatan bertaraf lima bintang.

 

Antara kemudahan premium yang ditawarkan termasuk daftar masuk di hotel terpilih dalam rangkaian Sun Group, akses ke Sun Executive Lounge, kabin moden yang lebih luas dan selesa serta haruman eksklusif La Festa yang diinspirasikan daripada resort terkenal di Phu Quoc.

 

Sun PhuQuoc_DagangNews2026

 

Pengalaman dalam penerbangan turut diperkaya menerusi sistem hiburan tanpa wayar, pilihan hidangan Vietnam, Asia dan Eropah serta minuman premium seperti TWG Tea dan kopi Delingo bagi memenuhi keperluan penumpang pelbagai segmen.

 

Bagi meraikan pelancaran laluan baharu itu, syarikat menawarkan tambang promosi sehala bermula RM370 selain diskaun 20% bagi tambang asas untuk semua kelas penerbangan bagi tempahan yang dibuat melalui laman web rasmi atau aplikasi mudah alih, tidak termasuk tempoh perjalanan puncak.

 

Tambang tersebut turut merangkumi hidangan percuma mengikut kelas penerbangan, elaun bagasi berdaftar sehingga 23 kilogram serta tambang kanak-kanak pada kadar 75% daripada tambang dewasa, sekali gus meningkatkan nilai kepada pelanggan.

 

Sun PhuQuoc Airways turut memaklumkan perluasan rangkaian antarabangsa ke Asia Timur, India, Rusia dan Asia Tengah sepanjang tahun ini, selain meningkatkan armada kepada 32 pesawat menjelang akhir 2026 bagi menyokong pertumbuhan rangkaian dan memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan premium berteraskan konsep pelancongan santai. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved