
KUALA LUMPUR: Sun PhuQuoc Airways mengumumkan pelancaran perkhidmatan penerbangan terus harian baharu antara Kuala Lumpur dan Pulau Phu Quoc, sekali gus memperluaskan rangkaian penerbangannya di Asia Tenggara serta memperkukuh hubungan pelancongan dan perjalanan antara Malaysia dan Vietnam.
Dijadualkan memulakan operasi pada 1 September 2026, laluan baharu ini akan menawarkan satu penerbangan pergi balik setiap hari, menjadikan Malaysia sebagai destinasi antarabangsa ketujuh dalam rangkaian terus Sun PhuQuoc Airways.
Perkhidmatan ini menyediakan akses yang lebih mudah kepada rakyat Malaysia untuk menikmati keindahan Pulau Phu Quoc, yang terkenal sebagai “Pulau Mutiara” Vietnam, di samping menyokong pertumbuhan pulau tersebut sebagai antara destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.
Dengan tempoh penerbangan sekitar 1 jam 35 minit, penumpang boleh menikmati perjalanan yang lebih selesa ke destinasi yang menawarkan pantai-pantai indah, kepelbagaian gastronomi tempatan serta pelbagai tarikan bertaraf dunia.
Mereka juga berpeluang menikmati pengalaman hospitaliti, hiburan dan rekreasi premium dalam ekosistem Sun Group. Jadual penerbangan turut dirancang bagi memberi lebih banyak masa kepada pelancong untuk menikmati percutian mereka di Pulau Phu Quoc.
Penerbangan sulung pada 1 September 2026 dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phu Quoc pada jam 1.45 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.20 petang.
Penerbangan pulang pula akan berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 5.20 petang dan tiba di Phu Quoc pada jam 5.55 petang. Semua waktu yang dinyatakan adalah mengikut waktu tempatan.

Selaras dengan visinya untuk mentakrifkan semula pengalaman pelancongan santai, Sun PhuQuoc Airways sedang membangunkan konsep eksklusif “Resort in the Sky”, yang menjadikan setiap penerbangan sebagai permulaan kepada pengalaman percutian yang istimewa.
Syarikat penerbangan ini turut mempertingkatkan perkhidmatannya secara berperingkat ke arah standard lima bintang antarabangsa, dengan menawarkan pengalaman premium dari darat sehingga ke dalam pesawat.
Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk perkhidmatan daftar masuk hotel terpilih dalam rangkaian Sun Group, akses ke Sun Executive Lounge, kabin generasi baharu dengan reka bentuk moden yang elegan, ruang tempat duduk yang lebih selesa serta haruman eksklusif La Festa, diinspirasikan oleh La Festa Phu Quoc, Curio Collection by Hilton.
Pengalaman dalam penerbangan turut dipertingkatkan menerusi sistem hiburan tanpa wayar, pilihan sajian yang menampilkan hidangan Vietnam, Asia dan Eropah, selain minuman premium seperti TWG Tea dan kopi Delingo.
Bagi meraikan pelancaran laluan baharu ini, Sun PhuQuoc Airways menawarkan tambang sehala bermula daripada RM370, berserta diskaun 20% bagi tambang asas untuk semua kelas penerbangan bagi tempahan yang dibuat melalui laman web rasmi atau aplikasi mudah alih syarikat penerbangan, tidak termasuk tempoh perjalanan puncak.
Tambang turut merangkumi hidangan percuma mengikut kelas tambang, elaun bagasi berdaftar sehingga 23 kilogram, manakala tambang kanak-kanak ditawarkan pada kadar 75% daripada tambang dewasa.
Penumpang juga boleh menikmati pelbagai keistimewaan menerusi Sun Signature, program kesetiaan Sun Group yang membolehkan ahli mengumpul dan menebus mata ganjaran untuk tiket penerbangan, bagasi tambahan, pemilihan tempat duduk serta pelbagai manfaat gaya hidup dalam ekosistem Sun Group.
Ahli bertaraf premium turut menikmati kemudahan pembayaran global melalui kad Visa jenama bersama yang diterbitkan dengan kerjasama National Citizen Commercial Joint Stock Bank (NCB).
Malaysia merupakan antara pasaran pelancongan antarabangsa yang paling berpotensi bagi Pulau Phu Quoc, manakala Kuala Lumpur pula berperanan sebagai hab penerbangan utama Asia Tenggara yang menghubungkan pelbagai destinasi serantau dan antarabangsa.
Laluan baharu ini dijangka merancakkan lagi aliran pelancong antara kedua-dua negara serta menarik lebih ramai penumpang transit antarabangsa melalui Kuala Lumpur.
Pada masa hadapan, Sun PhuQuoc Airways merancang untuk terus mengembangkan rangkaian penerbangan antarabangsanya sepanjang tahun 2026 dengan memperkenalkan laluan baharu ke Asia Timur Laut, India, Rusia dan Asia Tengah.
Syarikat penerbangan itu juga menyasarkan untuk meningkatkan jumlah armadanya kepada 32 buah pesawat menjelang akhir tahun 2026 bagi menyokong pertumbuhan rangkaian serta komitmennya dalam menawarkan pengalaman perjalanan bertaraf lima bintang di peringkat antarabangsa. – UTUSAN
The post Sun PhuQuoc Airways lancar laluan terus Kuala Lumpur – Phu Quoc appeared first on Utusan Malaysia.





