Sun PhuQuoc Airways lancar penerbangan terus dari KL-Phu Quoc

1 Sep 2026 • 9:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sun PhuQuoc Airways lancar penerbangan terus dari KL-Phu Quoc

PETALING JAYA: Perjalanan ke Phu Quoc, Vietnam kini lebih mudah buat pelancong Malaysia apabila Sun PhuQuoc Airways (SPA) melancarkan penerbangan terus baharu dari Kuala Lumpur ke destinasi popular itu, hari ini.

Dengan satu penerbangan pergi balik setiap hari, laluan baharu berkenaan menawarkan perjalanan sekitar 95 minit bagi setiap hala sekali gus memberikan pilihan penerbangan terus kepada pelancong Malaysia yang mahu menikmati keindahan Phu Quoc.

Penerbangan 9G750 dari Kuala Lumpur berlepas pada 5.20 petang dan tiba di Phu Quoc pada 5.55 petang waktu tempatan, manakala penerbangan 9G751 dari Phu Quoc berlepas pada 1.45 petang dan tiba di Kuala Lumpur pada 4.20 petang waktu tempatan.

SPA membawa konsep ‘Resort in the Sky’ menerusi laluan berkenaan dengan tambang yang merangkumi bagasi daftar masuk percuma, hidangan ringan serta minuman.

Pesawat generasi baharu SPA turut dilengkapi sistem hiburan dalam penerbangan tanpa wayar (wireless IFE), manakala haruman istimewa La Festa, yang dicipta khusus untuk La Festa Phu Quoc, Curio Collection by Hilton bertaraf lima bintang, melengkapkan pengalaman sepanjang penerbangan.

Malah, penumpang yang melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Phu Quoc bersama SPA turut boleh menikmati pelbagai keistimewaan merentasi rangkaian hospitaliti, sajian dan hiburan premium Sun Group.

Dengan menyimpan pas masuk penerbangan SPA, penumpang layak menerima tiket kereta kabel Sun World Hon Thom secara percuma, selain menikmati akses keutamaan menerusi WOW Pass di Sun World Hon Thom serta diskaun sehingga 30 peratus di resort, restoran dan tarikan hiburan terpilih dalam ekosistem Sun Group.

Selain itu, bermula hari ini, SPA turut memperkenalkan program ‘Hello Vietnam. Stay Connected!’ yang menawarkan eSIM percuma dengan data 5GB kepada penumpang antarabangsa yang layak untuk membolehkan mereka terus berhubung sebaik tiba di Vietnam.

Menurut SPA, setiap pemegang pasport yang layak boleh menerima satu eSIM percuma dalam tempoh 30 hari, tertakluk kepada terma dan syarat program.

“Pembukaan laluan baharu itu turut disambut di kedua-dua lapangan terbang dengan Tourism Malaysia mengetuai acara sambutan penerbangan sulung di Kuala Lumpur dengan penyertaan wakil Kedutaan Vietnam di Malaysia,” katanya.

Image from: Sun PhuQuoc Airways lancar penerbangan terus dari KL-Phu Quoc
WAKIL Sun PhuQuoc Airways (SPA) (kiri) bersama Mohd. Izani Ghani (kanan) ketika majlis pelancaran.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menjadikan Phu Quoc sebagai hab utamanya.

“Sun PhuQuoc Airways membawa satu tawaran yang berbeza ke KLIA.

“Kemasukan SPA memberikan penumpang pilihan perkhidmatan penuh pertama bagi laluan terus ini, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan kepada pasaran yang terus berkembang,” katanya.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, Vietnam merekodkan 369,350 ketibaan pelancong Malaysia, meningkat 21.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala jumlah penumpang bagi sektor Kuala Lumpur–Phu Quoc mencecah kira-kira 70,400 penumpang.

Jumlah itu bersamaan 76 peratus daripada keseluruhan trafik yang direkodkan sepanjang 2025, menunjukkan potensi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Phu Quoc.

Kuala Lumpur kini menjadi destinasi antarabangsa ketujuh SPA selepas Taipei, Seoul, Hong Kong, Singapura, Chengdu dan Bangkok, manakala pada 2026 syarikat itu merancang memperluaskan kumpulan pesawatnya kepada 32 pesawat, termasuk empat pesawat badan lebar Airbus A330.-UTUSAN

The post Sun PhuQuoc Airways lancar penerbangan terus dari KL-Phu Quoc appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved