
PETALING JAYA – Pengguna jalan raya dinasihatkan menangguhkan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur malam ini susulan kesesakan luar biasa yang dilaporkan berlaku dari sebelum Plaza Tol Bentong hingga Plaza Tol Gombak.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna dikenali sebagai zahidashaarani memaklumkan kesesakan itu dipercayai mencecah lebih 50 kilometer dengan pergerakan kenderaan dilaporkan sangat perlahan.
“Perkembangan terkini. Jem bermula sebelum Tol Bentong hingga Tol Gombak. Sesiapa yang mahu balik ke Kuala Lumpur malam ini, tunda dahulu.
“Risau tengok jem lebih 50 kilometer. Kereta langsung tidak bergerak,” katanya.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman masing-masing berdepan kesesakan ketika dalam perjalanan dari arah Bentong menuju Kuala Lumpur.
Seorang pengguna, nazira93eyra, berkata perjalanan pada sebelah pagi berjalan lancar sebelum dia meneruskan urusan menghantar anak ke pengasuh dan ke tempat kerja.
“Saya bergerak pukul 6.30 pagi tadi, okey saja jalan. Sampai Tol Gombak dalam pukul 7 lebih. Hantar anak ke pengasuh, selepas itu terus pergi kerja pukul 8.30,” katanya.
Sementara itu, diyana.akakbankk berkata dia mengambil keputusan bermalam di kawasan Karak selepas mendapati perjalanan pulang dijangka mengambil masa yang panjang.
“Tak sanggup tengok lima jam lagi dari Lanchang. Padahal keluar rumah pukul 10. Jadi kami daftar masuk rumah inap di kawasan Karak.
“Esok Subuh terus keluar pergi kerja. (Gila betul),” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tunda dulu perjalanan balik KL malam ini appeared first on Kosmo Digital.






