Sundaydo penuhi keinginan pencinta manisan

4 Oct 2026 • 11:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sundaydo penuhi keinginan pencinta manisan

SIAPA sangka, aktiviti yang dilakukan sekadar untuk mengisi masa lapang menjadi titik tolak kepada pembukaan sebuah premis manisan, Sundaydo di Jalan H3, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Segalanya bermula sekitar tahun 2016 apabila pemiliknya, Ahmad Faris Zulkifli membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan menjual kek secara dalam talian sebelum beralih kepada konsep trak makanan.

Katanya, setelah beberapa tahun menjalankan perniagaan menjual kek, akhirnya dia bersedia untuk menyediakan ruang makan di premis buat pelanggan.

“Awalnya, kakak saya sekadar suka-suka buat kek dan saya fikir apa salahnya untuk jual kek buatannya. Kami bermula dengan hanya menjual kek sebiji atau potongan.

“Kemudian, kami melakukan pelbagai eksperimen sehinggalah berjaya menyediakan ruang premis buat pelanggan dengan menjual makanan dan minuman, selain manisan,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.

Image from: Sundaydo penuhi keinginan pencinta manisan
AHMAD FARIS menunjukkan sebahagian makanan, minuman dan manisan yang ditawarkan di Sundaydo, Kuala Lumpur. – Foto AMIR KHALID

Antara menu makanan yang menarik perhatian adalah chicken pad kra pao, beef bolognese fries, funpack baby pancakes dan lava burnt cheesecake, sementara minuman pula strawberry matcha serta tiramisu latte.

Terdapat juga variasi pilihan makanan Barat seperti plain mac and cheese, spaghetti carbonara, aglio olio, chermoula chicken dan chicken chop.

“Pelanggan awal memang mengenali kami dengan jualan kek dan manisan, manakala pelanggan baharu berkunjung ke kedai kerana suasana dan pilihan makanan.

“Awalnya, kedai ini hanya satu tingkat dan waktu itu kami memang hanya menjual kek.

“Sekitar tahun ini, saya melakukan ubah suai dan membuat ruang di tingkat atas agar dapat menyediakan tempat makan yang selesa.

“Pilihan makanan juga sesuai dengan cita rasa pelanggan sama ada golongan muda atau mereka yang sudah berkeluarga kerana pilihan menu merangkumi kanak-kanak hingga dewasa,” katanya.

Dekorasi kedai yang disuntik dengan elemen retro pop terbahagi kepada ruang tertutup dan terbuka, sekali gus menjadi tarikan golongan Instagrammer.

“Sejujurnya, dekorasi ini tidak diinspirasi dari mana-mana pihak kerana semuanya dibuat berdasarkan bajet yang sederhana tetapi hasilnya menarik dan puas hati.

“Ruang kedai dibahagikan dua kerana saya melihat pelanggan atau masyarakat sekarang suka dengan persekitaran terbuka ketika makan.

“Jadi dengan bajet yang sederhana, saya berusaha untuk memberikan keselesaan terbaik buat pelanggan.

“Ini kerana, di sini bukan saja manisan atau makanan yang menjadi tarikan, sebaliknya dekorasi kedai juga menarik,” ujarnya.

Ruang makan terbuka di tingkat dua menjadi port lepak menarik untuk bersantai sambil menikmati hidangan.

Kedai Sundaydo dibuka pada setiap hari bermula dari pukul 12.30 tengah hari hingga 12.30 tengah malam.

The post Sundaydo penuhi keinginan pencinta manisan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved