Sungai Golok cetek: Kawalan sempadan diperketat guna dua dron

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 9:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kawalan di Sungai Golok dilakukan anggota Pasukan Gerakan Am. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
image is not available
Keadaan paras Sungai Golok makin cetek. Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID 

KOTA BHARU – Kawalan keselamatan sempadan negara di sepanjang Sungai Golok dipertingkatkan termasuk pemantauan menggunakan dua dron susulan keadaan sungai cetek kerana cuaca panas sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya bersama agensi keselamatan lain memperketatkan operasi pemantauan di kawasan berkenaan yang berisiko memudahkan kegiatan penyeludupan termasuk dadah, senjata api dan barangan lain merentasi sempadan negara.

“Apabila paras air Sungai Golok menjadi cetek, mudah untuk pergerakan pihak tertentu menyeberang sempadan.

“Justeru, Pasukan Gerakan Am bersama rakan strategik lain memperketatkan lagi kawalan dan operasi di sepanjang sempadan selain menggunakan dron,” katanya.

**media[3457992]**

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Penyampaian Bakul Makanan An’nisa di tapak bazar Ramadan di Lembah Sireh di sini pada Isnin.

Menurutnya, dua dron berkenaan digunakan bagi membantu pengawasan di kawasan sempadan yang sukar dipantau secara langsung.

“Buat masa ini kami menggunakan dua dron daripada Unit Udara Polis Diraja Malaysia bagi membantu pemantauan di sempadan.

“Setakat ini, tiada kes penyeludupan besar-besaran dikesan di kawasan tersebut, namun pihaknya terus memperhebatkan risikan dan pemantauan,” tegasnya.

Tambah beliau, sebelum ini pihak berkuasa Thailand turut berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah baru-baru ini apabila kira-kira 500 kilogram bahan terlarang dirampas di negara berkenaan yang dipercayai cuba dibawa merentasi sempadan melalui kurier.