KUALA TERENGGANU – Tahap kebersihan sungai-sungai utama di Terengganu termasuk Sungai Besut, Sungai Setiu dan Sungai Terengganu kini berada pada tahap terbaik malah lebih bersih berbanding kebanyakan negeri lain di Malaysia.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, majoriti sungai di negeri ini mencatatkan Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas I yang dikategorikan sebagai bersih.
Menurut beliau, kualiti air tersebut bukan sahaja sesuai untuk aktiviti rekreasi berasaskan air, malah memenuhi keperluan sebagai sumber air mentah untuk bekalan air minuman melalui rawatan konvensional.
"Secara keseluruhannya, tahap kebersihan sungai utama kita berada dalam keadaan baik dan terkawal.
"Berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS), status IKA bagi sungai berkaitan berada dalam Kelas I, manakala hanya tiga stesen pemantauan di Sungai Terengganu dan Sungai Besut berada dalam Kelas II," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yusop Majid (Bersatu-Permaisuri) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, pada Selasa.
Mengulas mengenai langkah pelestarian, Razali menjelaskan Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai kaedah penjagaan termasuk pengenalan Dasar Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy) bagi mengawal beban pencemar di punca.
"Pada tahun 2025, sebanyak 125 projek risiko banjir dilaksanakan dengan peruntukan RM6.095 juta dan tiga projek Denai Sungai Kebangsaan berjumlah RM0.6 juta
"Bagi tahun 2026, sebanyak 58 projek risiko banjir dilaksanakan dengan peruntukan RM4.7 juta serta 4 projek Denai Sungai Kebangsaan berjumlah RM0.7 juta," ujarnya.
Tambah beliau, pewartaan rizab sungai turut menjadi keutamaan bagi melindungi tebing daripada pencerobohan dan pembangunan tidak terkawal, sekali gus memastikan kelestarian sumber air untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
"Kita juga melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) dari hulu ke hilir bagi memastikan kecukupan sumber air dan mengekalkan keseimbangan ekosistem secara holistik.
"Selain itu, pematuhan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) diperketatkan bagi mengawal hakisan tanah dan pemendapan sedimen yang boleh menjejaskan kapasiti aliran sungai," jelasnya lagi.

