Sunview selesai ambil alih 20% pegangan dalam Winstar bernilai RM12 juta
diyana
07/09/2023 - 17:46
KUALA LUMPUR 7 Sept - Sunview Group Berhad telah menyelesaikan pembelian 20% pegangan dalam Winstar Aluminium Manufacturing Sdn Bhd yang bernilai RM12 juta.
Dalam kenyataan media hari ini, Sunview berkata anak syarikatnya, Vafe System Sdn Bhd telah memenuhi semua terma dan syarat seperti yang ditetapkan dalam perjanjian penjualan saham dan menyelesaikan pengambilalihan dalam syarikat terbabit.
Ketika mengumumkan cadangan pengambilalihan tersebut pada April, Sunview berkata langkah tersebut adalah untuk menceburi perniagaan sistem pemasangan solar aloi aluminium, sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mewujudkan ekosistem mampan dalam industri tenaga boleh diperbaharui.
Winstar terlibat dalam pembuatan, fabrikasi, pemprosesan dan penjualan aluminium, logam dan aloi dengan rekod prestasi terbukti selama 21 tahun dalam pembuatan aluminium dan kemudahan pengeluaran mereka terletak di tapak seluas 2.4 hektar di Ijok, Selangor.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata pengambilalihan Winstar membentuk pengembangan menegak kumpulan ke dalam perniagaan huluan dalam rantaian nilai industri solar.
“Sunview mendahului penyedia penyelesaian tenaga solar tersenarai di Malaysia dengan memperoleh pegangan dalam Winstar.

“Pengambilalihan Winstar membolehkan kami menguruskan sebahagian daripada kos input dengan berkesan dan membolehkan kami menawarkan harga yang lebih kompetitif kepada pelanggan sambil memastikan kualiti produk,”
Menurut beliau, Winstar telah membekalkan struktur pelekap kepada projek solar kumpulan pada masa ini.
Beliau menjangkakan pengambilalihan itu menjimatkan kos sehingga 10% dalam keseluruhan kos bahan dan pengangkutan.
“Selain itu, pengambilalihan ini mengurangkan kebergantungan kami kepada pembekal pihak ketiga dan kami yakin ini akan memacu masa depan kumpulan yang lebih mampan,” tambahnya.
Saham Sunview ditutup rendah hari ini pada 80 sen, turun 0.5 sen atau 0.6%, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM374.4 juta. - DagangNews.com

