Sunway Carnival Mall tampil kempen ‘Seindah Corak Aidilfitri’ angkat warisan tekstil Melayu

6 Mar 2026 • 2:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Izhar dan Wen Yew merasmikan Kempen Perayaan Seindah Corak Aidilfitri di Pusat Beli Belah Sunway Carnival pada Khamis.
image is not available
Wen Yew (dua dari kiri) dan Izhar turut mengunjungi Agrofiesta Aidilfitri.

SEBERANG JAYA – Pusat Beli Belah Sunway Carnival menampilkan Kempen Perayaan Seindah Corak Aidilfitri yang mengetengahkan keindahan warisan tekstil Melayu melalui dekorasi bertema serta pelbagai aktiviti menarik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Kempen yang berlangsung daripada 27 Februari hingga 29 Mac itu menggabungkan elemen tradisional dan moden dengan inspirasi daripada seni tekstil Melayu seperti songket, tenun, batik dan tekat bagi mewujudkan pengalaman perayaan yang lebih bermakna kepada pengunjung.

Dengan ketibaan bulan Ramadan, kempen berkenaan turut mengingatkan masyarakat mengenai kemeriahan Aidilfitri yang semakin hampir sekali gus menonjolkan nilai kebersamaan, muhasabah diri serta keindahan tradisi yang diwarisi turun-temurun.

Pengurus Besar Kanan Pusat Beli Belah Sunway Carnival, Chai Wen Yew berkata, hari raya bukan sekadar perayaan malah menjadi simbol kepada ikatan kekeluargaan serta nilai budaya yang terus dipelihara dalam masyarakat.

“Hari raya adalah tentang pulang ke rumah iaitu (pulang) kepada keluarga, nilai-nilai kita dan tradisi yang membentuk siapa diri kita,” katanya pada Majlis Perasmian Kempen Perayaan Seindah Corak Aidilfitri di Pusat Beli Belah Sunway Carnival, di sini pada Khamis.

Majlis perasmian itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah.

Menurut Wen Yew, dekorasi kempen tersebut menggunakan konsep ruang berbentuk bulatan yang membolehkan pengunjung bergerak dan berkumpul di sekitar kawasan hiasan.

"Visual berinspirasikan batik turut dipaparkan secara menyeluruh di ruang pusat beli-belah, menampilkan corak yang mengalir dengan motif simbolik yang menggambarkan nilai seperti kekuatan, keikhlasan, keharmonian, kebersamaan komuniti, kasih sayang serta harapan.

"Kesemua elemen itu membentuk suasana perayaan yang meriah namun intim sekali gus mencerminkan semangat Aidilfitri yang bukan sahaja dilihat tetapi turut dirasai oleh pengunjung," ujarnya lagi.

**media[3454791]**

Dalam masa sama, kempen tersebut turut menampilkan kolaborasi bersama Sunway University menerusi projek bertajuk 'A Story in Every Motif' yang memberi peluang kepada pengunjung memahami warisan tekstil Melayu secara lebih mendalam.

Kata Wen Yew, projek penyelidikan kreatif itu diketuai pensyarah kanan universiti berkenaan, Delas Santano dan Maslisa Zainuddin yang memperkenalkan pengalaman Augmented Reality (AR) bagi menghidupkan makna dan kisah di sebalik setiap motif tekstil tradisional.

"Inisiatif tersebut turut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 4, 11 dan 17) yang menekankan aspek pendidikan, kelestarian bandar serta kerjasama komuniti.

"Selain itu, kempen berkenaan turut diserikan dengan kerjasama artisan batik terkenal dari Kelantan iaitu Tipah Jusoh dan Darus Idris yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam bidang kraf batik.

"Pasangan suami isteri itu mengetengahkan karya yang menggabungkan motif tradisional Kelantan dengan sentuhan kontemporari sekali gus menonjolkan batik bukan sekadar sebagai elemen hiasan tetapi sebagai seni warisan yang hidup," katanya.

Beliau menambah, bagi melengkapkan pengalaman pengunjung, ruang hiasan kempen itu turut direka sebagai pengalaman pelbagai deria yang membolehkan pengunjung meneroka kawasan pusat beli-belah mengikut rentak sendiri selain menawarkan pelbagai lokasi menarik untuk bergambar.

Dalam pada itu katanya, pengunjung juga boleh mengunjungi Agrofiesta Aidilfitri hasil kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berlangsung daripada 26 Februari hingga 20 Mac di aras bawah pusat beli-belah berkenaan.

"Agrofiesta Aidilfitri tersebut menampilkan 22 gerai yang menawarkan pelbagai barangan persiapan raya termasuk kuih-muih tradisional, makanan tempatan, pakaian perayaan serta aksesori," ujarnya.

Kempen Seindah Corak Aidilfitri dijangka memberi pengalaman membeli-belah yang lebih menarik kepada pengunjung selain menghidupkan suasana Aidilfitri melalui gabungan elemen tradisi, kreativiti dan kebersamaan.