amree17/04/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 April — Kenaikan kos pembinaan pusat data (DC) yang mencecah AS$12 juta (RM47.48 juta) per megawatt (MW) dilihat semakin menekan industri, menurut CGS International (CGSI).
Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut melihat Sunway Construction Group Berhad (SunCon) masih lagi kekal berdaya tahan untuk terus mengharungi persekitaran yang amat mencabar pada ketika ini.
Katanya, peningkatan kos semasa tidak menjejaskan pun momentum pertumbuhan yang terus menyaksikan keseluruhan tender kukuh mencecah sebanyak RM17.5 bilion, dengan 80% daripadanya ialah projek DC.
“Walaupun kos meningkat, aktiviti tender DC semakin rancak terutama di Lembah Klang dan Johor, dengan sasaran perolehan kontrak baharu RM6 bilion bagi FY2026 kekal tidak berubah,” kata CGSI.
Setakat awal April 2026 jelasnya, SunCon sudah meraih kontrak bernilai RM1.2 bilion, dan firma itu menjangka potensi positif sekiranya beberapa kontrak DC dimuktamadkan dalam suku kedua 2026.
Menurutnya, kelebihan utama kumpulan ini terletak pada kedudukannya sebagai antara kontraktor DC paling berpengalaman di Malaysia, dengan reputasi kukuh kapasiti yang siap sudah sebanyak 156MW.
Pada masa sama ujar CGSI, syarikat ini melihat potensi tambahan daripada projek pembesaran DC sedia ada dianggarkan RM4.5 bilion, selain menyasarkan projek dalaman sekitar RM1 bilion lagi.

"Kami berpandangan kira-kira 50% daripada buku tempahan SunCon adalah berasaskan 'cost pass-through', dan membolehkan syarikat mengekalkan margin walaupun berdepan tekanan kos," katanya.
Jelas firma penyelidikan tersebut, keadaan ini memberi perlindungan kepada margin keuntungan, di samping rundingan berterusan untuk memindahkan kos tambahan sekiranya berlaku kenaikan lanjut.
Setakat akhir Mac 2026, buku tempahannya berjumlah RM6.9 bilion, dengan 51% ialah projek DC, diikuti projek dalaman (35%) dan selebihnya melibatkan bangunan, infrastruktur serta pratuang.
CGSI turut menekankan risiko pembayaran adalah minimum kerana pelanggan DC terdiri banyak syarikat teknologi global utama, dan disokong kedudukan kewangan kukuh dengan tunai bersih RM1.7 bilion.
"Pihak pengurusan SunCon pada masa sama juga masih kekal komited untuk terus mengekalkan dasar pembayaran dividen 100% bagi FY26, yang akan diagihkan secara suku tahunan," kata firma berkenaan.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) iaitu RM7.90, didorong prospek kukuh dalam segmen DC yang terus berkembang pesat di Malaysia.
Ia berpandangan, kumpulan ini kekal sebagai proksi utama kepada tema pertumbuhan DC, dengan potensi penarafan semula didorong oleh kemenangan kontrak baharu masa depan. - DagangNews.com
