
SHAH ALAM, 5 NOV: Sunway Construction Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM1.74 bilion bagi pembinaan sebuah pusat data berskala besar(hyperscale) di Serendah.
Menurut kumpulan pembinaan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn Bhd memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat pengendali pusat data berskala besar antarabangsa yang tidak dinamakan bagi melaksanakan projek berkenaan hari ini (5 Nov).
Kontrak terbaharu itu merupakan projek ketujuh berkaitan pusat data yang diperoleh syarikat berkenaan tahun ini, sekali gus meningkatkan nilai kontrak baharu yang diraih kepada RM9.8 bilion setakat ini.
Perkembangan itu turut menjadikan jumlah keseluruhan nilai kontrak terkumpulan syarikat tersebut sebanyak RM13.4 bilion.
Skop kontrak merangkumi pembinaan struktur utama pusat data, infrastruktur sokongan serta kerja mekanikal, elektrikal dan perpaipan.
Kerja pembinaan dijadual bermula pada suku keempat 2026 dengan sasaran siap menjelang suku keempat 2028.
Sunway Construction berkata projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan seterusnya.
Bagaimanapun, projek itu dijangka tidak memberi sebarang impak ketara serta-merta terhadap pendapatan, aset bersih atau tahap kadar hutang syarikat bagi tahun kewangan semasa.
Sementara itu, saham Sunway Construction meningkat dua sen atau 0.26 peratus kepada RM7.70 pada sesi rehat tengah hari ini, menjadikan permodalan pasaran kumpulan berkenaan bernilai RM10.3 bilion.
Sejak awal tahun ini, harga saham syarikat itu meningkat sebanyak 35.33 peratus.




