liza04/11/2026 - 18:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov – Sunway Construction Group Berhad (SunCon) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn Bhd memperoleh kontrak tambahan bernilai kira-kira RM920.8 juta bagi kerja-kerja mekanikal, elektrikal dan paip (MEP) untuk pembangunan pusat data di Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SunCon berkata anak syarikatnya menerima surat anugerah variasi (Letter of Award for Variation) daripada sebuah syarikat teknologi multinasional yang beribu pejabat di Amerika Syarikat pada 4 November 2026.
Pelanggan berkenaan tidak dinamakan dalam pengumuman itu, sebaliknya hanya dikenal pasti sebagai sebuah syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat.
Kontrak tambahan itu membabitkan pelaksanaan kerja-kerja mekanikal, elektrikal dan paip bagi pembangunan pusat data yang sedang dijalankan di Johor.
Surat anugerah variasi berkenaan turut berfungsi sebagai arahan untuk memulakan kerja tambahan tersebut, yang disasarkan siap menjelang suku pertama 2028.
Buku tempahan tertunggak RM11.7 bilion
SunCon berkata, kerja tambahan itu tertakluk kepada risiko biasa berkaitan pembinaan, termasuk turun naik harga bahan binaan.
Bagaimanapun, risiko berkenaan dijangka dapat dikurangkan berdasarkan pengalaman dan kepakaran Sunway Construction Sdn Bhd dalam melaksanakan projek pembinaan serta pembangunan pusat data.
Dari segi kewangan, kontrak tambahan itu tidak dijangka memberi kesan material serta-merta terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan gearing kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Bagaimanapun, sekiranya tiada keadaan luar jangka, kerja tambahan berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan mulai tahun kewangan 2026 dan seterusnya.
Peroleh RM8.06 bilion kontrak baharu tahun ini
SunCon memaklumkan kumpulan telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM8.06 bilion sepanjang tahun kewangan semasa setakat tarikh pengumuman, termasuk kontrak tambahan terbaharu itu.
Jumlah buku tempahan tertunggak kumpulan pula kini berjumlah RM11.7 bilion. SunCon turut menjelaskan bahawa tiada kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kerja tambahan itu melibatkan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama syarikat, termasuk individu yang mempunyai kaitan dengan mereka. - DagangNews.com






