Sunway dan SHRPL peroleh projek bina kediaman RM2.33 bilion di Singapura

LocalBusiness & Finance
18 Jul 2025 • 9:04 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunway dan SHRPL peroleh projek bina kediaman RM2.33 bilion di Singapura

image is not available

18/07/2025 - 09:04

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai – Sunway Bhd dan rakan usaha samanya dari Singapura, Sing Holdings Residential Pte Ltd (SHRPL) memperoleh projek pembangunan kediaman bernilai RM2.33 bilion di Chuan Grove, Singapura.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway berkata pihak Berkuasa Pemulihan Bandar (URA) Singapura telah menganugerahkan sebidang tanah berkeluasan kira-kira 15,831.5 meter persegi kepada SHRPL dan Sunway Developments Pte Ltd (SDPL) bagi tempoh pajakan 99 tahun, susulan kejayaan bidaan pada harga S$703.6 juta (RM2.33 bilion).

Projek tersebut akan dibangunkan melalui penubuhan syarikat usaha sama baharu, yang mana SHRPL akan memegang 65% ekuiti dan SDPL sebanyak 35%.

SDPL merupakan anak syarikat milik penuh Sunway Holdings Sdn Bhd, yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Sunway Bhd.

Menurut Sunway, projek yang dicadangkan dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026).

“Projek ini tertakluk kepada risiko lazim pembangunan hartanah dan pembinaan seperti turun naik harga bahan mentah, kadar faedah serta kitaran pasaran hartanah.

“Namun begitu, risiko ini dijangka dapat dikurangkan menerusi pengalaman dan rekod pencapaian SHRPL dan SDPL dalam industri,” katanya.

Projek ini adalah kolaborasi pertama Sunway dengan SHRPL di pasaran hartanah Singapura, sekali gus memperkukuh portfolio kumpulan dalam pasaran kediaman mewah negara itu selain kerjasama sedia ada bersama Hoi Hup Realty.

Sunway kini mempunyai lima projek aktif dan akan datang di Singapura iaitu The Continuum, Terra Hills, Novo Place, Otto Place serta projek di Tampines yang dijangka dilancarkan pada separuh pertama 2026.

Dengan penglibatan yang semakin meluas di Singapura, Sunway terus muncul sebagai proksi kukuh kepada ekonomi domestik dan serantau yang kini memasuki fasa pertumbuhan baharu.


Terdahulu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research melaporkan tender bagi tanah di Chuan Grove yang ditutup pada 8 Julai lalu menerima tujuh bidaan.

Menurut HLIB Research, kejayaan pelancaran Chuan Park sebelum ini menunjukkan permintaan kukuh bagi projek kediaman berkualiti di kawasan tersebut, sekali gus menyokong potensi pembangunan Chuan Grove.


HLIB turut menganggarkan nilai pembangunan kasar efektif projek Chuan Grove sekitar RM1.62 bilion, dengan margin keuntungan bersih sekitar 10%.

Ini dijangka menyumbang keuntungan tahunan kira-kira RM40.4 juta kepada Sunway, yang akan diiktiraf sepanjang FY2027 hingga FY2030. - DagangNews.com

standard