KWSP jual 20 juta saham, bukan lagi pemegang saham utama Sunway Construction

18/07/2025 - 11:19
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 18 Julai – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melupuskan pegangan besarnya dalam Sunway Construction Group Bhd (SunCon), dan tidak lagi menjadi pemegang saham utama syarikat pembinaan itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KWAP berkata sebanyak 20 juta saham telah dilupuskan pada 14 Julai lalu, menerusi akaun pelaburan yang diuruskan oleh Citigroup Nominees Sdn Bhd – Employees Provident Fund Board-IC.
Susulan transaksi itu, pegangan KWSP dalam SunCon menyusut kepada 4.27%, iaitu di bawah paras 5% yang ditetapkan bagi status pemegang saham utama.
Nilai pelupusan tidak didedahkan, namun berdasarkan harga penutupan SunCon sebanyak RM5.95 pada tarikh tersebut, anggaran nilai keseluruhan transaksi mencecah RM119 juta.
Dalam laporan tahunan terkini SunCon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, KWSP disenaraikan sebagai pemegang saham ke-10 terbesar dengan pegangan sebanyak 6.85%.
Bagaimanapun, data setakat 11 Julai menunjukkan dana persaraan itu terus mengurangkan pegangannya kepada 5.79% sebelum menyusut di bawah ambang kelayakan sebagai pemegang saham utama.
KWSP mula menjadi pemegang saham utama SunCon sejak Januari 2018 selepas meningkatkan pegangan kepada 5.05% melalui pembelian lebih 600,000 saham.
Pemegang saham terbesar SunCon kekal Sunway Holdings Sdn Bhd dengan pegangan langsung sebanyak 54.55%, manakala syarikat induknya, Sunway Bhd, memegang kepentingan tidak langsung menerusi entiti tersebut.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling, turut memiliki pegangan langsung sebanyak 1.67% serta kepentingan tidak langsung sebanyak 64.63% melalui pelbagai entiti termasuk Active Equity Sdn Bhd, Sungei Way Corporation Sdn Bhd, Sunway Holdings dan Sunway Bhd sendiri.
SunCon setakat ini telah meraih tiga kontrak utama tahun ini, termasuk projek pembangunan berorientasikan transit bernilai RM1.5 bilion, kontrak fasa akhir pusat data bernilai RM260 juta, serta perolehan kontrak bernilai RM1.16 bilion bagi perkhidmatan pembinaan dua pusat data.- DagangNews.com
standard
