amree18/09/2026 - 15:25 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — Sunway Healthcare Group (SHG) memperkukuh kehadirannya di Johor menerusi pelaburan RM800 juta untuk membangunkan Sunway Medical Centre Iskandar Puteri, hospital tertiari pelbagai disiplin dengan kapasiti lebih 400 katil yang dijangka siap pada 2030.
Hospital baharu itu, yang merupakan hospital pertama kumpulan di selatan Malaysia, dilihat bakal memperluas akses kepada rawatan pakar berteknologi tinggi selain menyokong aspirasi Johor untuk berkembang sebagai hab penjagaan kesihatan dan pelancongan perubatan serantau.
Menurutnya dalam kenyataan, hospital berkenaan Terletak dalam Sunway City Iskandar Puteri, yang akan menawarkan perkhidmatan kepakaran termasuk kardiovaskular, onkologi, neurosains, gastroenterologi dan hepatologi, ortopedik serta kesihatan wanita dan kanak-kanak.
"Ia turut dilengkapi Pusat Kanser dan Perubatan Nuklear bersepadu yang menyediakan perkhidmatan radioterapi dan perubatan nuklear, selain lebih 45 katil rawatan rapi, lebih 130 katil penjagaan ambulatori, lebih 80 bilik konsultasi, 10 dewan bedah dan dua makmal," kata SHG.
Kedudukan hospital dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta laluan sistem transit pantas (RTS) Link dijangka membolehkan kumpulan itu memenuhi keperluan penduduk Johor, selain menarik pesakit antarabangsa khususnya dari Singapura dan Indonesia.
Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah berkata, pembangunan itu mencerminkan keyakinan berterusan kumpulan terhadap potensi Johor, dengan penjagaan kesihatan berkualiti penting bagi menyokong pertumbuhan negeri berkenaan.

Sementara itu, Presiden SHG, Datuk Lau Beng Long berkata, Sunway Medical Centre Iskandar Puteri bukan sekadar hospital berdiri sendiri, sebaliknya akan menjadi 'healthcare anchor' dalam ekosistem bersepadu Sunway City Iskandar Puteri bagi menyokong kesejahteraan komuniti sekitar.
"Hospital ini dijangka menggaji lebih 1,400 tenaga profesional penjagaan kesihatan apabila beroperasi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Iskandar Puteri serta Johor," jelasnya dalam kenyataan.
Sunway City Iskandar Puteri pula merupakan kawasan pembangunan bersepadu seluas 810 hektar yang merangkumi komponen pendidikan, hospitaliti, hiburan, peruncitan, komersial dan kediaman, dengan populasi komuniti dijangka melebihi 250,000 penduduk apabila siap sepenuhnya.
SHG turut merancang memperluas ekosistem penjagaan kesihatan di Johor menerusi Sunway Fertility Centre di Sunway Citrine yang disasarkan siap pada 2027 dan Sunway Ambulatory Care Centre berhampiran RTS Link pada 2028, selain meneroka pembangunan kemudahan penjagaan warga emas.
Selepas disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 18 Mac 2026, kumpulan tersebut menyasarkan untuk mengendalikan sejumlah lapan buah hospital dengan kapasiti keseluruhan kira-kira 3,400 katil di seluruh Malaysia menjelang 2032.
"Beberapa hospital sudah mencatat tempoh peningkatan operasi yang lebih pantas, dengan Sunway Medical Centre Velocity, Pulau Pinang dan Damansara masing-masing mencapai bulan pertama hasil kasar positif dalam tempoh 12, tiga dan sembilan bulan selepas dibuka," katanya.
Dalam keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, SHG merekodkan hasil RM672.9 juta, meningkat 30% tahun ke tahun (YoY), manakala keuntungan selepas cukai (PAT) yang boleh diagihkan kepada pemilik meningkat 89% kepada RM78.2 juta.
Jelasnya, sumbangan Sunway Medical Centre Damansara dan Sunway Medical Centre Ipoh kepada hasil kumpulan turut meningkat kepada 11% berbanding hanya kira-kira 5% setahun sebelumnya. - DagangNews.com


