Sunway labur RM800 juta bina hospital 400 katil di Iskandar Puteri

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 3:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sunway labur RM800 juta bina hospital 400 katil di Iskandar Puteri

PETALING JAYA – Sunway Healthcare Group (SHG) melabur kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Sunway Medical Centre Iskandar Puteri (SMCIP), hospital tertiari pelbagai kepakaran dengan kapasiti lebih 400 katil yang dijangka siap pada 2030.

SMCIP dirancang untuk mempunyai Pusat Kanser dan Perubatan Nuklear bersepadu yang menawarkan perkhidmatan radioterapi dan perubatan nuklear.

Selain itu, hospital berkenaan akan memberi tumpuan kepada beberapa bidang kepakaran utama termasuk kardiovaskular, onkologi, neurosains, gastroenterologi dan hepatologi, ortopedik serta kesihatan wanita dan kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, pembangunan SMCIP mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Johor selain melengkapi usaha kerajaan negeri memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan.

“Projek ini bukan sahaja memperluas akses kepada rawatan pakar berkualiti, malah dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan menyumbang kepada pertumbuhan Iskandar Puteri serta ekonomi Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Apabila siap, SMCIP dijangka menggaji lebih 1,400 tenaga profesional penjagaan kesihatan, selain menyediakan lebih 45 katil rawatan rapi, lebih 130 katil rawatan ambulatori, lebih 80 bilik konsultasi dan 10 dewan bedah.

Dalam perkembangan berkaitan, SHG turut merancang Sunway Fertility Centre di Sunway Citrine yang disasarkan siap pada 2027 dan Sunway Ambulatory Care Centre berhampiran laluan RTS Johor Bahru-Singapura yang dijangka siap pada 2028, selain meneroka potensi pembangunan kemudahan penjagaan warga emas.

Pembinaan SMCIP adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan SHG selepas penyenaraian Sunway Healthcare Holdings Berhad di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad di bawah nama saham SUNMED pada 18 Mac 2026.

Bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, SHG mencatat peningkatan hasil 30 peratus tahun ke tahun kepada RM672.9 juta, manakala keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik meningkat 89 peratus kepada RM78.2 juta. – KOSMO! ONLINE

 

The post Sunway labur RM800 juta bina hospital 400 katil di Iskandar Puteri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved