
LONDON: Fenomena El Nino luar biasa yang dijangka melanda dunia boleh menyebabkan hampir 900,000 kematian tambahan akibat cuaca panas melampau antara Jun 2026 hingga Mac 2027, menurut unjuran terbaharu Makmal Impak Iklim.
Penjejak Kematian Akibat Haba El Nino yang dibangunkan badan penyelidikan itu menunjukkan tempoh enam bulan akan datang berisiko mencatat jumlah kematian yang tinggi susulan gabungan fenomena tersebut dan pemanasan global akibat aktiviti manusia.
Bagi tempoh Oktober 2026 hingga Mac 2027, kira-kira 373,000 kematian tambahan diunjurkan berlaku di seluruh dunia, dengan kebanyakannya dijangka tertumpu di negara-negara Selatan Global.
Kawasan berkenaan berdepan risiko lebih tinggi berikutan kemudahan penyejukan yang terhad serta perubahan corak monsun yang boleh memburukkan kesan gelombang haba.
Nigeria, India dan Brazil dijangka menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah kematian tambahan dalam tempoh berkenaan.
Nigeria diramalkan mencatat jumlah tertinggi, dengan kira-kira 56,100 kematian tambahan akibat haba antara Oktober hingga Mac.
India pula diunjurkan merekodkan kira-kira 55,200 kematian, dengan jumlah itu dijangka meningkat mendadak menjelang Mac.
Brazil turut berdepan risiko dengan kira-kira 19,500 kematian tambahan dijangka berlaku sepanjang tempoh itu, susulan suhu yang diramalkan kekal lebih tinggi daripada purata setiap bulan.
Negara lain yang turut dikenal pasti berisiko tinggi termasuk Indonesia, yang diunjurkan mencatat kira-kira 29,300 kematian tambahan, manakala Sudan dijangka merekodkan sekitar 14,700 kematian dalam tempoh sama.
Pakar sains berkata, fenomena El Nino kali ini amat membimbangkan kerana mencatat rekod baharu dari segi suhu.
El Nino ialah corak iklim semula jadi yang berlaku apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik meningkat.
Namun, kali ini, suhu permukaan laut di kawasan tengah dan timur Pasifik meningkat kira-kira 3.4 darjah Celsius melebihi purata sejarah sehingga mendorong pakar melabelkannya sebagai fenomena El Nino tahap Godzilla atau Super El Nino.
Peningkatan suhu laut yang melampau itu dikaitkan dengan gangguan cuaca global yang berantai, termasuk kemarau dan kegagalan monsun di beberapa kawasan Asia dan Afrika, selain kebakaran hutan serta banjir besar di kawasan lain.
Agensi bantuan turut memberi amaran kesan berantai fenomena itu boleh menyebabkan sehingga 50 juta orang berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan air yang serius.- AGENSI
The post Super El Nino diramal ragut hampir 900,000 nyawa appeared first on Utusan Malaysia.


