Super El Nino: JBPM tambah aset tangani kebakaran hutan

LocalEnvironment
6 Aug 2026 • 4:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Super El Nino: JBPM tambah aset tangani kebakaran hutan

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menambah aset operasi termasuk pam jentera bomba dan kenderaan utiliti operasi ringan, bagi memperkukuh kesiapsiagaan menangani kebakaran hutan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata langkah itu, diambil sebagai persediaan menghadapi cuaca kering yang dijangka berlaku susulan impak fenomena Super El Nino yang dijangka melanda negara, awal tahun depan.

Beliau berkata JBPM telah menerima 80 pam jentera bomba dan akan menerima tambahan 40 lagi pada hujung bulan ini.

"Bagi kenderaan utiliti operasi ringan pula, sebanyak 200 buah diperoleh yang akan menjadi first responder kepada kebakaran hutan pada skala kecil.

“Mereka akan pergi dahulu, membuat tinjauan, membuka laluan dan jika boleh dipadamkan, mereka akan padam terus. Ini bagi meningkatkan mobilisasi pasukan,” katanya selepas Majlis Perasmian Sukan Bomba (SUKBOM) 2026 di sini hari ini.

Nor Hisham berkata fokus utama bomba ialah melihat bagaimana kesan Super El Nino yang akan melanda kawasan Pasifik pada hujung Nov 2026 dan kesannya dijangka dihadapi negara pada penghujung Jan 2027.

“Penumpuan kami ialah kepada persiapan menghadapi impak Super El Nino terhadap cuaca kering negara pada awal Januari tahun depan, tanpa mengabaikan operasi sepanjang Monsun Barat Daya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, kerana dikhuatiri boleh menyebabkan api merebak dengan cepat dan sukar dikawal.

Terdahulu, Nor Hisham merasmikan SUKBOM 2026 yang mempertandingkan 11 acara dengan penyertaan 1,384 peserta.

Beliau berkata kejohanan itu turut menjadi platform pemilihan atlet JBPM ke Sukan Polis dan Bomba Dunia 2027 di Perth, Australia berdasarkan prestasi yang dipamerkan pada temasya berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved