
CHINA – Di saat kebanyakan pasar raya berlumba-lumba menarik pelanggan dengan diskaun besar dan promosi murah, lain pula kisah sebuah supermarket di China ini.
Bukan harga runtuh yang membuatkan orang sanggup beratur panjang, sebaliknya layanan manusiawi yang jarang-jarang kita nampak dalam dunia bisnes hari ini.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, @diansalji, dia berkongsi pengalaman unik ketika mengikuti trip kerja ke sebuah bandar kecil di wilayah Henan, China, semata-mata untuk melawat sebuah pasar raya. Ya, pasar raya sahaja, bukan lokasi pelancongan popular.
Pada awalnya dia sendiri berasa pelik kenapa tempat itu dipilih, apatah lagi suhu ketika itu mencecah 1 darjah Celsius dan kawasan tersebut bukan destinasi biasa dikunjungi pelancong seperti Beijing atau Guangzhou. Namun rupa-rupanya, pasar raya dikenali sebagai Pang Dong Lai (DL Supermarket) itu bukan biasa-biasa.
Penuh Macam Bazar Ramadan Hari Pertama
Menurutnya, setiap hari pasar raya tersebut dipenuhi orang ramai sehingga terpaksa beratur panjang untuk masuk. Suasananya pula sesak seolah-olah membeli-belah pada hari pertama bazar Ramadan.
Menariknya, pelanggan datang bukan kerana harga murah atau promosi besar-besaran. Sebaliknya, mereka tertarik dengan servis dan layanan pelanggan yang disifatkan bertaraf dunia.
Tiada Iklan, Ganti Dengan Berita & Kata-Kata Positif
Satu perkara unik yang membezakan pasar raya ini dengan tempat lain ialah mereka langsung tidak memaparkan sebarang iklan komersial. Tiada poster jualan, tiada papan promosi atau hebahan diskaun.
Sebaliknya, hanya terdapat skrin besar yang menayangkan berita 24 jam serta kata-kata positif di dinding. Konsep yang dibawa ialah “bisnes berperikemanusiaan”, iaitu meletakkan hati dan nilai kemanusiaan sebagai teras operasi.
Walaupun pada awalnya kelihatan janggal, pengalaman berada di dalam pasar raya tersebut benar-benar mengubah persepsi pengunjung.
Layanan Detail Sampai Tahap Luar Biasa
Setiap sudut pasar raya itu jelas menunjukkan perhatian terhadap perincian. Buah-buahan bukan sahaja segar, malah disertakan maklumat seperti tahap kemanisan, cara makan dan tip memilih yang terbaik. Pekerja juga tidak teragak-agak membantu pelanggan memilihkan buah yang benar-benar masak dan berkualiti.
Bahagian makanan laut pula bersih berkilat dengan air yang jernih, tanpa bau hanyir atau haiwan mati. Lantai sentiasa kering dan bersih. Malah, pelanggan yang membeli seafood boleh terus meminta dapur mereka memasak makanan tersebut secara percuma.
Di bahagian makanan sejuk beku, disediakan sarung tangan untuk pelanggan supaya tangan tidak kesejukan ketika mengambil barang. Dapur makanan panas pula dipasang CCTV secara langsung agar pelanggan dapat melihat sendiri tahap kebersihan penyediaan makanan.
Jelas sekali, setiap perkara kecil diambil kira demi keselesaan dan kepercayaan pelanggan.
Staf Dijaga Macam Keluarga
Bukan pelanggan sahaja dimanjakan, kebajikan pekerja juga diberi perhatian serius. Waktu kerja mereka tidak melebihi enam jam sehari, manakala cuti tahunan boleh mencecah antara 20 hingga 40 hari.
Lebih menarik, pekerja turut diberikan ‘freedom leave’ selama 10 hari tanpa perlu memberikan sebarang alasan. Jika berasa penat atau tertekan, mereka digalakkan berehat.
Pihak pengurusan percaya pekerja yang gembira akan memberikan layanan terbaik kepada pelanggan. Falsafahnya mudah, staf bahagia, pelanggan pun rasa dihargai.
Netizen Turut Puji Konsep Jujur
Menjengah ruangan komen, ramai netizen mengakui Pang Dong Lai memang terkenal di China sebagai pasar raya yang jujur dan beretika. Ada yang sanggup memandu berjam-jam semata-mata untuk membeli-belah di situ.
Malah, tidak kurang yang menyifatkan syarikat ini sebagai contoh terbaik bagaimana sesebuah bisnes patut dijalankan dengan mengutamakan manusia terlebih dahulu sebelum keuntungan.
Bukan Sekadar Jual Barang, Tapi Bina Budaya
Kesimpulannya, pengalaman tersebut membuka mata bahawa bisnes tidak semestinya keras dan hanya mengejar keuntungan semata-mata. Kadang-kadang, keikhlasan, kepercayaan dan budaya kerja yang sihat jauh lebih bernilai.
Semua orang boleh menjual barang, tetapi tidak semua mampu membina budaya yang membuatkan pelanggan dan pekerja rasa dihargai. Mungkin inilah sebabnya kenapa supermarket ini digelar legenda. – The Malaysian Update
The post Supermarket Legend Di China Ini Tular, Servis ‘Level Dewa’ Siap Masak Percuma Untuk Pelanggan appeared first on The Malaysian Update.

