Supermax kembali untung pada suku keempat dengan PAT RM79.8 juta

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2026 • 5:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Supermax kembali untung pada suku keempat dengan PAT RM79.8 juta Image from: Supermax kembali untung pada suku keempat dengan PAT RM79.8 juta liza27/08/2026 - 17:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Supermax Corporation Berhad kembali mencatatkan keuntungan pada suku keempat tahun kewangan 2026, didorong oleh peningkatan harga jualan sarung tangan, pertambahan permintaan serta pengurusan kos yang lebih cekap.

 

Prestasi itu turut memberi petunjuk positif kepada kumpulan berkenaan yang kini bersedia meningkatkan pengeluaran di kilang baharunya di Amerika Syarikat (AS) bagi memenuhi tempahan dalam jumlah besar daripada pelanggan domestik negara itu pada separuh kedua 2026.

 

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026, Supermax mencatatkan hasil sebanyak RM217.3 juta, meningkat 42.5% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan hasil itu disumbangkan oleh kenaikan harga jualan purata (ASP) serta pertambahan permintaan terhadap produk sarung tangan susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.

 

Prestasi hasil yang lebih kukuh, digabungkan dengan kecekapan kos yang lebih baik membolehkan Supermax mencatatkan pemulihan keuntungan berbanding kerugian sebelum dan selepas cukai yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.


Prestasi Kewangan Bertukar Daripada Rugi Kepada Untung

Berbanding suku sebelumnya, prestasi Supermax turut menunjukkan peningkatan yang ketara apabila keadaan pasaran yang lebih baik dan pengurusan kos yang lebih berdisiplin membantu kumpulan itu kembali mencatatkan keuntungan.

 

Hasil kumpulan meningkat RM90.5 juta atau 71.4% berbanding suku ketiga tahun kewangan 2026 yang menyokong pemulihan prestasi keseluruhan syarikat.

 

Supermax mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM91.3 juta, berbanding kerugian RM13.1 juta pada suku sebelumnya.

 

Keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM79.8 juta berbanding kerugian selepas cukai RM41.4 juta pada suku sebelumnya dengan prestasi itu turut disokong oleh pengiktirafan aset cukai tertunda.


Kilang AS Jadi Pemacu Pertumbuhan

Supermax berkata operasi dan kemudahan pembuatannya di Amerika Syarikat memberikan kelebihan strategik kepada kumpulan itu, khususnya dalam mengurangkan pendedahan terhadap ketidaktentuan kos pengangkutan antarabangsa dan masalah logistik rentas sempadan.

 

Kumpulan itu telah menyiapkan proses pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyerahan rasmi barisan pengeluaran terakhir di kilang AS tersebut pada Jun 2026.

 

Dengan selesainya proses itu, Supermax menjangkakan kos pemasangan dan perbelanjaan sebelum operasi akan berkurangan dengan ketara selepas ini.

 

Bermula pada separuh kedua 2026, kumpulan itu merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang berkenaan bagi memenuhi tempahan dalam jumlah besar daripada pelbagai pelanggan domestik di Amerika Syarikat.

 


Supermax Sasar Keuntungan Lebih Kukuh


Kumpulan itu kekal positif terhadap prospek operasinya dengan menjangkakan keadaan penawaran dan permintaan dalam industri sarung tangan terus bertambah baik.

 

Supermax juga melihat pendekatan lebih berdisiplin dalam pengembangan kapasiti pengeluaran oleh pengeluar China, kenaikan harga jualan purata serta perubahan yang lebih menggalakkan dalam dasar perlindungan perdagangan sebagai faktor yang boleh menyokong permintaan terhadap produknya.

 

Menurut Supermax, keadaan tersebut memberi peluang kepada kumpulan itu untuk memenuhi permintaan bagi produk yang menawarkan margin keuntungan lebih tinggi.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan pengeluaran di kilang AS, penjimatan kos secara berstruktur di kemudahan global serta pengembangan rangkaian pengedaran akan menjadi antara langkah utama untuk meningkatkan jualan dan keuntungan.

 

Supermax menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh prestasi kewangan melalui pengembangan portfolio pelanggan, peningkatan kecekapan pengeluaran dan usaha mengoptimumkan operasi, dengan sasaran untuk mencatatkan prestasi serta keuntungan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2026.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved