SHAH ALAM - Pengurusan tidur yang baik menerusi penghayatan Surah al-Muzzammil mampu membantu meningkatkan kesihatan fizikal, emosi dan fokus harian individu.
Penasihat Quran Medis, PT Cordoba Internasional Indonesia, Dr Agus Rahmadi berkata, tidur bukan sekadar keperluan fizikal, sebaliknya ruang rehat yang diciptakan ALLAH SWT bagi memulihkan tenaga manusia.
"Pada waktu malam, tubuh berada dalam keadaan rehat dan proses pemulihan berlaku secara semula jadi, kerana itulah ALLAH SWT menjadikan malam untuk berehat, manakala siang untuk bekerja dan mencari rezeki.
"Aktiviti fizikal atau senaman juga lebih baik dilakukan pada waktu pagi kerana tubuh berada dalam keadaan lebih segar,” katanya ketika menjadi panel Quranic Wellness Valley Rahsia Tidur (Panduan Daripada Surah al-Muzammil) di Dewan Karangkraf di sini pada Khamis.
**media[3520650]**
Agus berkata, tubuh badan merupakan amanah dan titipan ALLAH SWT yang perlu dijaga dengan baik melalui disiplin hidup seimbang termasuk menjaga waktu tidur dan bangun malam untuk beribadah.
Tambah beliau, Surah al-Muzzammil turut menekankan amalan qiamullail sebagai salah satu terapi rohani dan bersujud membantu memberikan ketenangan kepada tubuh serta minda.
"Lakukan tahajud terlebih dahulu sebelum memulakan rutin harian. Kualiti tidur adalah perkara paling penting kerana tidur yang tenang membantu tubuh dan emosi menjadi lebih stabil.
"Sebelum tidur, bacalah doa dan ayat al-Quran kerana ia memberi ketenangan kepada jiwa serta mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Tidur juga perlu dalam keadaan hati yang tenang," ujarnya.
**media[3520655]**
Agus berkata, keseimbangan tidur pada waktu malam turut mempengaruhi hormon penting dalam tubuh seperti melatonin dan kortisol yang berkait rapat dengan tahap tekanan, emosi serta kecergasan seseorang.
Bagi panel kedua, Dr Hafiz Sulaiman, kandungan Surah al-Muzammil disusun secara luar biasa kerana dimulakan dengan seruan lembut daripada ALLAH SWT agar manusia bangun pada waktu malam untuk beribadah dan bermunajat.
Menurut beliau, amalan bangun malam untuk menunaikan solat turut memberi kesan positif kepada sistem saraf dan ketenangan jiwa.
"Apabila seseorang bangun malam, mengambil wuduk dan membasahkan muka, ia sebenarnya merangsang saraf pada wajah yang membantu tubuh menjadi lebih tenang.
"Terdapat saraf yang berkait dengan ketenangan dan ada juga saraf yang berkait dengan tekanan. Sebab itu ibadah malam membantu manusia lebih bersedia menghadapi cabaran pada siang hari,” ujarnya.
**media[3520656]**
Beliau turut menjelaskan bahawa ritma jantung manusia berubah mengikut waktu, dengan kadar denyutan lebih tinggi pada siang hari dan lebih rendah pada waktu malam.
Hafiz menegaskan tidur awal selepas Isyak merupakan antara amalan terbaik untuk mendapatkan tempoh tidur nyenyak yang lebih panjang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berhasrat memperluaskan pendekatan Quranic Wellness dan perubatan Islam berasaskan al-Quran serta sunah menerusi kerjasama bersama pengamal perubatan di negara ini.
Menurut beliau, pihaknya juga akan mengusahakan buku berkaitan pemakanan sihat dan keseimbangan gaya hidup berteraskan sunah Nabi Muhammad SAW untuk manfaat masyarakat.
"Inisiatif itu selari dengan misi WUIF untuk melahirkan sekurang-kurangnya 50 individu yang mampu membawa kefahaman berkaitan Tib Nabawi kepada masyarakat.
"Pendekatan Quran Medik pula masih belum ada secara khusus jadi di WUIF, kita usaha untuk mempercepatkan inisiatif ini sama ada bersama wakil, pasukan yang berminat dari Rumah Ngaji mahupun Self Wellness and Healthcare,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan program Quranic Wellness telah dimulakan lebih awal menerusi institusi masjid sebagai medium menyampaikan solusi kehidupan berpandukan al-Quran dan konsep halalan toyyiban.
"Program tertangguh seketika sebelum kembali diperkasakan tahun lalu dengan kita mulakan termasuk pelancaran podcast berkaitan Quranic Wellness.
“Kita akan terus menyusun gerak kerja melalui Rumah Ngaji dan kerjasama bersama para doktor supaya mereka dapat menyumbang ilmu serta panduan berasaskan al-Quran dan hadis kepada masyarakat,” katanya.

