
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim didakwa telah menandatangani surat cara proklamasi berkaitan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Datuk Maarof Mat Rashad berkata, tandatangan Menteri Besar itu tertera pada surat cara proklamasi bertarikh 3 Ogos lalu yang antara lain menyentuh keputusan Undang Yang Empat berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April lalu.
Beliau yang juga Undang Luak Jelebu (yang dipertikaikan) berkata, dokumen tersebut menunjukkan bahawa Menteri Besar telah melengkapkan surat cara berkenaan selaras dengan kehendak Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Ini adalah bukti dokumen yang menunjukkan surat cara proklamasi tersebut telah ditandatangani oleh Menteri Besar,” katanya pada sidang media, malam tadi. Turut hadir Abdul Rahim Yasin serta Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah.
Terdahulu, Ismail dalam satu kenyataan menegaskan fokus beliau ketika ini adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat dan negeri, serta menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Surat cara proklamasi ini ada tandatangan MB’ appeared first on Kosmo Online.






