Sekitar Mac lalu, kecoh tentang isu keberadaan sebuah kuil yang didakwa dibina secara tidak sah di sebelah pintu utama Hospital Bukit Mertajam.
Ketika isu tersebut hangat diperdebatkan, terdapat satu komen yang menarik perhatian. Persoalan yang dibangkitkan adalah mudah: Mengapa di dalam hospital atau kompleks beli-belah boleh disediakan surau, tetapi tiada binaan rumah anutan agama lain di lokasi yang sama?
Jika dilihat secara sepintas lalu, persoalan ini mungkin kelihatan seperti satu bentuk ketidakadilan. Mengapa umat Islam seolah-olah diberikan keistimewaan untuk mempunyai tempat ibadat di dalam kompleks komersial atau kemudahan awam, sedangkan agama lain tidak diberikan ruang yang sama?
Namun, persoalan ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.
Surau sebagai sebahagian daripada keperluan pengguna
Dalam konteks pusat beli-belah, penyediaan surau sebenarnya bukan semata-mata berkaitan dengan soal keagamaan. Ia juga merupakan sebahagian daripada strategi pengurusan dan perniagaan bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Malaysia mempunyai majoriti penduduk beragama Islam. Justeru, keperluan terhadap kemudahan untuk menunaikan solat merupakan salah satu faktor yang perlu diambil kira oleh pengusaha pusat beli-belah.
Sebab itu, kita dapat melihat banyak pusat beli-belah menyediakan surau yang semakin selesa, luas dan mudah diakses. Ada yang lengkap dengan ruang wuduk, penghawa dingin, tempat solat yang bersih serta kemudahan tambahan untuk keselesaan pengguna.
Dalam banyak keadaan, kemudahan tersebut boleh menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi pilihan pengguna.
Logiknya mudah. Sekiranya sebuah pusat beli-belah tidak menyediakan surau yang baik, pelanggan Muslim mungkin memilih untuk mengunjungi pusat beli-belah lain yang menyediakan kemudahan tersebut dengan lebih baik.
Dalam kata lain, penyediaan surau juga boleh dilihat sebagai satu bentuk perkhidmatan kepada kelompok pengguna yang besar.
Untuk rekod, kebanyakkan pemilik pusat beli-belah adalah dalam kalangan orang bukan Islam.
Namun, faktor pasaran menyebabkan pengurusan premis perlu memahami keperluan majoriti pelanggan mereka.
Surau boleh mempengaruhi tempoh kunjungan pelanggan
Satu lagi aspek yang sering terlepas pandang ialah kesan kemudahan surau terhadap tempoh seseorang pelanggan berada di dalam sesebuah premis.
Kebanyakan orang datang ke pusat beli-belah bukan untuk menunaikan solat semata-mata. Mereka datang untuk membeli-belah, makan di restoran, menonton wayang, berjumpa rakan atau menyelesaikan urusan lain.
Bayangkan seorang pelanggan Muslim yang berada di pusat beli-belah dari pagi hingga petang. Dengan adanya surau yang mudah diakses, dia boleh terus melakukan aktiviti hariannya tanpa perlu meninggalkan premis semata-mata untuk mencari tempat menunaikan solat.
Keadaan ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada pihak pengurusan premis kerana pelanggan mempunyai lebih banyak sebab untuk terus berada di situ.
Situasi ini menjadi lebih jelas ketika bulan Ramadan. Pusat beli-belah yang mempunyai pelbagai pilihan tempat makan untuk berbuka puasa, digabungkan dengan kemudahan surau yang luas dan selesa, berpotensi menjadi antara lokasi pilihan pelanggan Muslim.
Inilah yang boleh dikaitkan dengan konsep kesan limpahan ekonomi. Sesebuah kemudahan yang pada asalnya disediakan untuk memenuhi keperluan pengguna boleh turut memberi kesan kepada corak kunjungan dan perbelanjaan mereka.
Bagaimana pula dengan hospital dan lokasi awam?
Prinsip yang hampir sama boleh dilihat di hospital, kawasan rekreasi, terminal pengangkutan dan pelbagai lokasi tumpuan awam yang lain.
Apabila sesebuah tempat dikunjungi oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang, penyediaan kemudahan asas yang diperlukan oleh pengguna adalah sebahagian daripada fungsi pengurusan premis.
Bagi umat Islam, waktu solat berlaku beberapa kali sehari. Oleh itu, penyediaan ruang solat di lokasi yang menerima kunjungan orang ramai merupakan satu kemudahan yang praktikal.
Dalam banyak keadaan, penyediaan sebuah surau juga tidak memerlukan pembinaan struktur yang kompleks. Ia boleh menggunakan ruang sedia ada yang disesuaikan dengan keperluan solat, termasuk menyediakan ruang wuduk serta kelengkapan asas seperti sejadah dan telekung.
Ini menjadikannya jauh berbeza daripada membina sebuah bangunan rumah ibadat yang mempunyai struktur, reka bentuk, kapasiti dan keperluan tapak yang tersendiri.
Jadi, adakah ini bermaksud agama lain tidak mempunyai hak?
Di sinilah pentingnya kita membezakan antara penyediaan kemudahan ibadah dengan pembinaan sebuah rumah ibadat.
Kewujudan surau di dalam sesebuah hospital atau pusat beli-belah tidak semestinya bermaksud premis tersebut memberikan keistimewaan mutlak kepada satu agama. Ia boleh menjadi sebahagian daripada penyediaan kemudahan pengguna berdasarkan demografi, keperluan dan fungsi sesuatu premis.
Pada masa yang sama, pembinaan rumah ibadat dalam sesuatu kawasan tetap tertakluk kepada perancangan, status tanah, kelulusan pihak berkuasa serta peraturan yang berkuat kuasa.
Justeru, isu sebenarnya bukan sekadar persoalan kenapa surau boleh tetapi kuil tidak boleh?
Persoalan yang lebih tepat ialah: apakah fungsi ruang tersebut, apakah statusnya dari sudut undang-undang dan perancangan, serta adakah ia dibina dan digunakan mengikut kelulusan yang ditetapkan?
Perkara yang sama sepatutnya dinilai tanpa mengira agama.
Jika sebuah rumah ibadat dibenarkan melalui proses yang sah, maka ia adalah isu yang berbeza. Sebaliknya, jika sesuatu struktur dibina tanpa kelulusan atau di atas tapak yang tidak dibenarkan, persoalan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan yang sama.
Kesimpulan
Oleh itu, kewujudan surau di hospital, pusat beli-belah atau kawasan awam tidak semestinya boleh dijadikan perbandingan terus dengan pembinaan sebuah rumah ibadat.
Surau dalam sesebuah premis boleh berfungsi sebagai kemudahan pengguna yang memenuhi keperluan masyarakat Islam, sama seperti kemudahan lain yang disediakan berdasarkan keperluan pengunjung. Dalam konteks perniagaan pula, ia boleh menjadi sebahagian daripada strategi menarik dan mengekalkan pelanggan.
Apa yang lebih penting ialah kita tidak mencampurkan antara hak untuk beribadat dengan hak untuk membina struktur atau rumah ibadat di mana-mana lokasi yang dikehendaki.
Dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang agama, kebebasan beragama perlu dihormati. Pada masa yang sama, pembangunan dan penggunaan sesuatu premis juga perlu tertakluk kepada undang-undang serta peraturan yang sama.
Maka, apabila timbul isu rumah ibadat yang didakwa dibina secara tidak sah, perbincangan sepatutnya tidak dilihat sebagai soal agama mana yang lebih berhak.
Sebaliknya, persoalan utamanya ialah sama ada pembangunan tersebut mematuhi undang-undang, mendapat kelulusan yang diperlukan dan sesuai dengan perancangan sesuatu kawasan.
Azzman Mantoya (azzman.tvpertiwi@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

