
KANGAR: Tindakan perobohan ke atas rumah ibadat yang dibina secara tidak sah atau haram tidak ada kaitan dengan agama atau kaum sebaliknya berasaskan peruntukan undang-undang yang tidak sewajarnya dipertikai.
Seorang pengamal undang-undang, Muhamad Nazrith Naziman berkata, kebelakangan ini, wujud isu melibatkan keberadaan rumah atau tempat ibadat tidak sah dan sebarang tindakan penguatkuasaan perlu dilihat secara objektif serta berasaskan kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
Katanya, dalam isu pembinaan rumah ibadat haram, ia bukan berkaitan agama atau kepercayaan mana-mana pihak, sebaliknya persoalan yang perlu diberi perhatian ialah sama ada sesuatu struktur atau tempat ibadat tersebut telah didirikan, dibangunkan dan digunakan dengan mematuhi segala kehendak undang-undang serta kelulusan yang diwajibkan.
“Sekiranya sesuatu rumah ibadat atau struktur telah didirikan atau beroperasi tanpa kebenaran, kelulusan, hak terhadap tanah atau apa-apa autoriti yang diperlukan di sisi undang-undang, maka perkara tersebut hendaklah ditangani mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kewujudan sesuatu struktur untuk suatu tempoh masa yang panjang tidak dengan sendirinya menjadikan struktur berkenaan sah di sisi undang-undang. Adalah penting untuk dibezakan antara hak seseorang untuk menganut dan mengamalkan agamanya dengan kewajipan untuk mematuhi undang-undang yang mengawal penggunaan tanah, pembangunan, pembinaan dan peraturan pihak berkuasa tempatan.
“Kebebasan beragama merupakan hak yang perlu dihormati, namun hak itu tidak boleh ditafsirkan sebagai pengecualian mutlak daripada pematuhan kepada undang-undang yang terpakai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhamad Nazrith yang juga merupakan Barrister-at-Law di London, United Kingdom (UK) berkata, dalam hal tersebut, tidak ada mana-mana individu, kumpulan atau organisasi yang boleh diletakkan di luar lingkungan undang-undang kerana prinsip yang sama hendaklah terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Katanya, sekiranya terdapat dakwaan bahawa sesuatu rumah ibadat tidak mempunyai kebenaran atau kelulusan yang sah, perkara tersebut hendaklah disiasat dan ditentukan berdasarkan fakta, rekod rasmi, dokumen serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Sebarang keputusan tidak seharusnya dibuat berdasarkan sentimen atau tekanan daripada mana-mana pihak, tetapi hendaklah berlandaskan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa yang berkenaan.
“Pada masa sama, sebarang tindakan penguatkuasaan hendaklah dilakukan secara adil, telus dan mengikut proses undang-undang. Pihak yang terlibat sewajarnya diberikan peluang yang munasabah untuk menjelaskan kedudukan mereka dan menggunakan apa-apa saluran undang-undang yang tersedia,” katanya.
Sebagai seorang peguam yang berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang, beliau menegaskan bahawa sesuatu pelanggaran undang-undang tidak boleh menjadi sah hanya kerana ia telah berlaku atau dibiarkan berterusan untuk suatu tempoh yang lama.
Katanya, prinsip kedaulatan undang-undang menuntut supaya undang-undang dilaksanakan secara adil, konsisten dan tanpa pilih kasih.
“Oleh itu, isu ini (perobohan kuil haram) tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu isu yang menimbulkan ketegangan antara agama atau kaum. Ia hendaklah dikembalikan kepada persoalan asas, iaitu sama ada undang-undang telah dipatuhi dan apakah tindakan yang dibenarkan atau diwajibkan oleh undang-undang sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Kedaulatan undang-undang hendaklah sentiasa menjadi teras pegangan bagi setiap rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa dan kaum. Semua pihak berhak mendapat layanan adil di sisi undang-undang, namun ia mestilah tidak terpisah dari kewajipan mematuhinya,” katanya.-UTUSAN
The post Agama dan kaum bukan benteng pertahan pembinaan rumah ibadat tidak sah appeared first on Utusan Malaysia.






