Suruhanjaya Sekuriti jelajah promosi Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 di Pulau Pinang

02/09/2025 - 16:22
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 2 Sept – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan jerayawara pertama Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP CoSIF) di Pulau Pinang, sebagai usaha meningkatkan penyertaan syarikat pembuatan tempatan dalam akses pembiayaan pasaran modal.
Dilancarkan Februari lalu bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), NIMP CoSIF ialah skim pelaburan bersama awam-swasta dengan peruntukan awal RM131.5 juta, yang berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan strategik untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan (MTC).
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, dana itu disusun sebagai instrumen pembiayaan gabungan yang menggabungkan dua mekanisme pasaran modal iaitu pembiayaan ekuiti orang ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).
“Pendekatan itu dijangka membantu syarikat mengurangkan risiko pembiayaan sambil menyediakan modal pertumbuhan bagi memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan global.
“CoSIF adalah antara instrumen penting bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju 5 Tahun SC (2024–2028) untuk mengatasi jurang pembiayaan yang dihadapi PKS dan MTC.
“Inisiatif ini mencontohi pendekatan whole of nation, menyokong agenda perindustrian negara serta mengiktiraf peranan penting PKS dan MTC sebagai enjin pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jerayawara Pulau Pinang menampilkan sesi penerangan khusus untuk PKS, MTC dan pembina ekosistem industri pembuatan, terutamanya syarikat yang berada di barisan hadapan inovasi.
Dengan ECF dan P2P, CoSIF mempercepatkan akses modal pertumbuhan, sekaligus menyokong sektor strategik di bawah NIMP 2030.
Dalam pada itu, beliau berkata, lebih banyak program jelajah turun padang akan dijalankan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran berhubung akses pembiayaan NIMP CoSIF.
“Selepas Pulau Pinang, jerayawara seterusnya akan diadakan di Kuala Lumpur dan Johor menjelang akhir 2025, membolehkan lebih banyak syarikat yang beroperasi dalam pembuatan dan perkhidmatan berkaitan mendaftar minat serta memahami peluang pembiayaan pasaran modal.
“Dengan memanfaatkan modal pertumbuhan strategik, NIMP CoSIF dijangka bukan sahaja merangsang inovasi industri, tetapi juga mengukuhkan daya saing Malaysia dalam peralihan menuju ekonomi berasaskan teknologi dan nilai tambah tinggi,” katanya. - DagangNews.com
standard


