Suruhanjaya Tenaga laksana struktur tarif elektrik baharu di bawah RP4, dijangka neutral kepada TNB - PublicInvest

LocalBusiness & Finance
23 Jun 2025 • 12:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Suruhanjaya Tenaga laksana struktur tarif elektrik baharu di bawah RP4, dijangka neutral kepada TNB - PublicInvest

image is not available

23/06/2025 - 12:20

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 Jun – Suruhanjaya Tenaga (EC) memperkenalkan struktur tarif elektrik baharu bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Regulatori Keempat (Regulatory Period 4-RP4), berkuat kuasa dari 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

Katanya, langkah itu dijangka "neutral" kepada prestasi kewangan Tenaga Nasional Bhd (TNB), memandangkan kadar pulangan kawal selia ke atas Aset Terkawal (Regulated Asset Base, RAB) kekal pada 7.3%.

Firma penyelidikan itu berkata, struktur tarif itu dilaksanakan di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation - IBR) bagi memperkukuh ketelusan dan keberkesanan pemulihan kos dalam sektor tenaga.

"Jadual tarif baharu turut menyusun semula pengguna kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan tahap voltan, menggantikan struktur lama yang bergantung kepada penggunaan bertingkat (kWj) bagi pengguna domestik dan jenis perniagaan bagi pengguna bukan domestik.

"Reformasi itu merangkumi tiga elemen utama, termasuk kadar asas tarif baharu sebanyak 45.40 sen/kWj, iaitu sedikit lebih rendah daripada unjuran awal tetapi mewakili peningkatan 13.6% berbanding Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) yang diumumkan pada Disember 2024," katanya dalam satu nota kajian.

Selain itu, mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dua kali setahun digantikan dengan pelarasan bahan api automatik (Automatic Fuel Adjustment, AFA) secara bulanan bagi membolehkan pemulihan kos dilakukan dengan lebih tepat.

Struktur baharu itu turut memperkenalkan lima komponen caj secara berasingan iaitu caj Tenaga, Kapasiti, Rangkaian, Runcit, dan AFA.

Firma penyelidikan itu berkata, Pelan Time of Use (ToU) turut diperluas kepada pengguna domestik, dilanjutkan dari jam 10 malam hingga 2 petang pada hari bekerja serta sepanjang hari pada hujung minggu, bagi menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih cekap ketika permintaan rendah.

Katanya, Lebih 23 juta pengguna domestik dijangka tidak terjejas oleh perubahan tersebut, dengan penggunaan antara 0 hingga 900 kWj sebulan berkemungkinan menunjukkan sedikit penjimatan.

Bagi pengguna bukan domestik dalam kategori Voltan Sederhana dan Voltan Tinggi, caj Permintaan Maksimum (MD) yang lebih tinggi akan diperkenalkan.

"Langkah itu dilihat sebagai insentif kepada pengguna komersial dan industri berskala besar untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, khususnya dengan mengurangkan beban ketika waktu puncak, sekali gus menyokong kestabilan grid serta keseimbangan permintaan dan bekalan elektrik secara mampan," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor tenaga, disokong oleh peningkatan permintaan elektrik, pelaburan semula dalam Penjana Tenaga Bebas (IPP), pembangunan tenaga boleh baharu, serta perbelanjaan modal TNB yang dirancang berjumlah RM42.9 bilion.

TNB kekal sebagai pilihan utama (Outperform, sasaran harga: RM16), disokong oleh prospek pendapatan yang stabil hasil kadar pulangan kawal selia yang kekal serta pelaksanaan AFA yang berupaya mengurus turun naik kos bahan api dengan lebih berkesan.- DagangNews.com

featured standard