
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Jumaat lalu (20 Jun), Suruhanjaya Tenaga (ST) telah mengumumkan jadual tarif elektrik baharu yang akan berkuatkuasa bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2027.
Menurut ST, 23.6 juta pengguna domestik (kegunaan peribadi atau kediaman) di Semenanjung Malaysia akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif selaras kerangka Kawal Selia Insetif (Incentive-Based Regulation – IBR).
Kita semua tahu yang sumber tenaga elektrik ini sangat penting untuk kehidupan manusia, maka bila perkara sebegini diumumkan, ia sudah pasti akan meraih perhatian ramai dan menimbulkan persoalan mengenai bil yang bakal diterima.
Ada yang khuatir, perubahan ini akan menyebabkan bil elektrik meningkat dan ada juga yang mengharapkan sebaliknya. Jadi, mari kami terangkan dengan lebih mendalam mengenai jadual tarif elektrik baharu ini.
Apa maksud jadual tarif baharu? Apa maknanya kepada pengguna?
Memetik Awani, selepas ini, kadar purata tarif asas diselaraskan berdasarkan kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada bulan Disember 2024.
Dengan pelarasan ini, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurang sehingga 19% berbanding tempoh sebelum Disember tahun lalu.
Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu ini melalui pengenalan jadual tarif baharu.
Selain itu, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada Insentif Cekap Tenaga.
Menurut ST, majoriti pengguna dijangka tidak terkesan. Malah, pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga.
ST perkenal skim baharu ToU, masa luar puncak lebih panjang
Dalam penstrukturan tarif elektrik, ST turut memperkenalkan skim baharu Masa Penggunaan atau Time of Use (ToU) iaitu tempoh luar puncak diperluas dan lebih panjang berbanding pelaksanaan sebelum ini.
Keseluruhan Sabtu, Ahad dan 10 malam sehingga 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dikira sebagai tempoh luar puncak.
Secara asasnya, kadar elektrik bagi tempoh luar puncak adalah lebih rendah berbanding waktu puncak.
Menurut ST, perluasan waktu ini bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga yang lebih cekap dan lestari.
Jadi kalau korang guna elektrik waktu di luar puncak, korang dapat jimat bil elektrik berbanding penggunaan ketika waktu puncak. Pendek kata, ToU ini bantu korang untuk uruskan penggunaan elektrik dengan lebih cekap.

Masyarakat dalam kategori miskin tegar pula macam mana?
Jelas ST, Kerajaan Madani tetap teruskan Progam Rebat Bil Elektrik RM40, iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman web https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti elektrik yang berhampiran.
Manakala untuk rumah kebajikan, sekolah, institusi pendidikan, masjid-masjid dan rumah-rumah ibadat lain akan diberi rebat sebanyak 10%.
Alamak masih tak faham dengan bil baharu?
Bermula bulan Julai ini, semua pengguna akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci (itemised billing).
Tarif elektrik baharu ini akan dibahagikan kepada beberapa komponen dan dipaparkan dalam bil iaitu:
- Caj Penjanaan: Caj tenaga elektrik mengikut kWj (tetap), Pelarasan Bahan Api Automatik (berubah mengikut harga pasaran bahan api) dan caj kapasiti (tetap).
- Caj Rangkaian: Kos penghantaran elektrik ke kediaman korang termasuk penyelenggaraan dan penambahbaikan infrasruktur.
- Caj Peruncitan: Meliputi kos perkhidmatan pelanggan, pengebilan dan pengurusan akaun.

Sebagai pengguna, korang boleh nampak setiap komponen bil dengan lebih jelas berbanding bil dahulu.
Pakar kewangan, Financial Faiz turut berkongsi mengenai perkara ini, korang boleh tengok video di bawah untuk lebih memahami.
Source:


