Susan Lankester dinobatkan Aktres Terbaik Asia

WorldEntertainment
5 Dec 2024 • 6:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Susan dinobatkan Aktres Terbaik menerusi lakonan hebatnya dalam filem Raintown di AACA 2024 yang berlangsung di Singapura, pada Rabu.

image is not available
Susan

image is not available
Susan menjayakan watak Aileen Choo dalam filem Raintown.

AKTRES berdarah kacukan, Susan Lankester dinobatkan Aktres Terbaik menerusi lakonan hebatnya dalam filem Raintown di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 yang berlangsung di Singapura, pada Rabu.

Susan menewaskan empat calon dan hanya berbeza 0.08 markah dengan pesaing terdekatnya iaitu pelakon Robyn Malcolm dari New Zealand menerusi filem After The Party.

Dilihat sebak tatkala namanya diumumkan sebagai pemenang, Susan berterima kasih kepada barisan juri yang menilai lakonan pelakon berusia 62 tahun sepertinya.

“Terima kasih kerana melihat bakat saya, terima kasih kerana melihat bakat pelakon yang berusia lebih 60 tahun.

“Saya sangat berbesar hati dapat berkongsi pentas ini bersama empat lagi calon hebat yang lain.

“Semoga akan ada lebih banyak peluang dan watak untuk pelakon wanita selepas ini,” katanya.

Susan turut berterima kasih kepada pengarah filem Rain Town, Tunku Mona Riza kerana memilihnya untuk melakonkan watak Aileen Choo.

“Saya ingin berterima kasih kepada Tunku Mona kerana memberikan watak ini kepada saya.

"Terima kasih juga kepada 'Aileen' kerana membawa saya dalam perjalanan yang luar biasa ini. Wanita, bekerja keras dan bekerja dengan bijak," ujarnya.

Pelakon yang terkenal dengan filem Mekanik itu turut mendedikasikan kemenangan penuh makna tersebut buat ibunya.

Jelasnya, watak Aileen yang dijayakan itu dicipta berdasarkan ibunya sendiri.

“Saya ingin dedikasikan anugerah ini kepada para ibu di luar sana, kami tahu anda kuat untuk melakukan semuanya termasuklah ibu saya sendiri,” katanya.

Pastinya, nama Susan akan sekali lagi menjadi sebutan Sabtu ini kerana tercalon menerusi kategori Pelakon Filem Terbaik menerusi naskhah sama di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).