Suspek bunuh bapa direman tujuh hari

7 Aug 2025 • 10:08 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Machang pada Khamis.

MACHANG - Suspek lelaki yang disyaki membunuh bapa dengan menggunakan kerusi kayu dalam kejadian di Kampung Baru Kuala Gris, Dabong pada Rabu ditahan reman bagi membantu siasatan.

Majistret Amal Razim Alias membenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap suspek berusia 40 tahun itu.

Siasatan kes akan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Machang pada jam 9.15 diiringi pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki bertindak agresif memukul bapanya dan menekan leher menggunakan kerusi kayu sebelum meninggal dunia.

Ketua Polis Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat memberitahu, lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

Siasatan awal mendapati mangsa dipukul menggunakan objek tumpul menyebabkan kecederaan parah.

Mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk tujuan bedah siasat.