Suspek kes bunuh maut ditembak selepas serang polis guna parang

31 Jan 2024 • 11:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 20-an ditembak mati selepas bertindak agresif menyerang anggota polis dengan parang di sebuah pangsapuri di Bukit Subang, Shah Alam, Selangor petang tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki itu adalah suspek kes bunuh wanita warga Indonesia berusia 19 tahun yang jasadnya ditemukan dengan kesan lapan tikaman di Sungai Way, Petaling Jaya pada Isnin lepas.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menyerbu pangsapuri terbabit pada kira-kira 5.30 petang.

“Ketika serbuan, lelaki itu bertindak agresif dengan menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang dan polis melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri.

“Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan sebilah parang panjang berukuran 28 sentimeter dirampas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-890 5051.

-BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved