Suspek Kes Dera Anak Kekasih Ditahan, Rupanya Ada 13 Rekod Jenayah & Positif Dadah

Entertainment
9 Jun 2023 • 3:39 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Individu yang dipercayai mendera anak teman wanitanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak itu baru-baru ini telah berjaya ditahan polis dan mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dengan jenayah dan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek berusia 31 tahun itu mempunyai lapan rekod kes jenayah dan lima kes dadah, lapor Buletin TV3.

Malah, pihaknya juga turut menjalankan ujian saringan air kencing dan suspek tersebut didapati positif dadah.

image is not available

“Kita mendapatkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 15 Jun depan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 25 Akta Pendaftaran Negara apabila didapati memegang kad pengenalan milik orang lain.”

Tambah Mohd Shuhaily, siasatan mendapati suspek merupakan seorang penganggur dan dia berkenalan serta tinggal bersama ibu mangsa sejak dua bulan lalu.

image is not available

“Kejadian dera itu dipercayai berlaku berpunca disebabkan bayi itu aktif sehingga suspek bertindak demikian,”katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden D Saralathan dilaporkan berkata, suspek telah ditahan di sebuah pangsapuri di Jinjang, Sentul.

Berdasarkan maklumat, suspek yang bernama Amir Shafiq Suhaimi, 31, dipercayai memukul mangsa kerana dikatakan bising.

image is not available

Dia didakwa memukul hingga mangsa bengkak pada bibir dan lebam di kedua-dua belah mata serta bahagian belakang badan. Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.