
BATU GAJAH: Seorang lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana, di sini semalam, ditahan polis kira-kira 10 jam selepas kejadian berkenaan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, suspek berusia 49 tahun itu ditahan di tepi Jalan Kledang kira-kira pukul 9.50 malam hasil risikan anggota polis.
“Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 11.47 pagi itu, pengadu bersama keluarga pulang ke rumah sebelum mendapati seorang lelaki berada di dalam kediaman berkenaan.
“Pengadu cuba menahan suspek namun berlaku pergelutan. Suspek kemudian mengambil sebatang playar dari dalam beg sandang dan menghayunkannya ke arah pengadu.
“Bagaimanapun, playar itu terkena tangan kiri isteri pengadu sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek kemudiannya cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diletakkan di dalam kawasan rumah pengadu dan dipercayai miliknya.
Bagaimanapun katanya, suspek terjatuh sebelum melarikan diri dengan meninggalkan motosikal terbabit bersama sebuah beg sandang yang mengandungi beberapa peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan mendapati tombol pintu hadapan rosak akibat kesan umpil manakala bilik tidur utama dan almari turut diselongkar.
“Setakat ini, tiada barangan dilaporkan hilang. Mangsa dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.
“Polis turut merampas beberapa barangan yang ditinggalkan di tempat kejadian termasuk sebuah motosikal,” katanya.
Tambah beliau, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular video berdurasi 53 saat yang memaparkan tindakan agresif seorang lelaki cuba melarikan diri daripada sebuah rumah yang disyaki telah dipecah masuk di kawasan Batu Gajah Perdana. –UTUSAN
The post Suspek pecah rumah ditahan 10 jam selepas kejadian appeared first on Utusan Malaysia.






