
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan pertengahan 20-an cedera selepas berlaku kekecohan di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam.
“Pihak polis mengesahkan berlaku insiden kekecohan di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Akibat insiden itu, seorang lelaki tempatan berusia pertengahan 20-an mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan berkaitan kejadian sehingga siasatan selesai,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan situasi bertukar tegang di luar stadium selepas tamat perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Hyundai ASEAN antara Malaysia dan Filipina.
Perlawanan itu berkesudahan Harimau Malaya menewaskan Filipina 1-0 untuk mara ke separuh akhir kejohanan tahun ini. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki cedera dalam kekecohan luar Stadium Cheras appeared first on Kosmo Digital.






