Suspek sempat gadai barang kemas Norshamira, pekerja kedai pajak turut direman

16 Feb 2025 • 2:43 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Suspek dipercayai ada kaitan dengan kematian seorang peniaga wanita dikatakan sempat gadai barang kemas Norshamira bernilai RM30,000 sebelum ditahan pihak berkuasa bagi tujuan siasatan.

Memetik laporan dari Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan suspek yang berusia 53 tahun disyaki telah menggadaikan barang kemas mangsa di Terengganu.

image is not available

Gadai barang kemas Norshamira dianggar bernilai RM30,000

Menerusi siasatan awal, barang kemas yang digadai beranggaran lebih kurang RM30,000.

Beliau juga mendedahkan laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan hentakkan di bahagian kepala dengan objek tumpul dan pembunuhan tersebut bermotifkan samun.

“Berdasarkan laporan bedah siasat, kematian mangsa akibat hentakan di bahagian kepala daripada objek keras atau tumpul dan lemas.

“Siasatan awal juga mendapati motif kejadian lebih kepada melakukan samun,” katanya.

image is not available

Suspek gadai barang kemas Norshamira sebelum ditahan polis

Suspek ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi dan direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan.

Turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.

image is not available

Pekerja kedai pajak gadai ditahan

Dalam pada itu, menerusi laporan dari Bernama, pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan pekerja kedai pajak gadai di tempat kerjanya.

Penahanan tersebut susulan daripada kes pembunuhan peniaga wanita berkenaan yang ditemui tidak bernyawa di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur.

image is not available

Pekerja direman seminggu bantu siasatan

Difahamkan, suspek yang berusia 53 tahun telah datang ke kedai pajak gadai terbabit bagi menggadaikan gelang emas dipercayai milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM30,000.

“Berdasarkan siasatan awal, polis dapati hanya gelang emas milik mangsa sahaja yang digadai. Pekerja pajak gadai itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Perintah reman dikeluarkan pagi tadi oleh Mahkamah Majistret Kuantan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Wan Mohd Zahari.

Terdahulu, mayat Norshamira Zainal, 37, telah ditemui di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur selepas dipercayai tidak pulang ke rumah setelah melakukan penghantaran barang (COD) kepada pelanggan.

Sumber: Berita Harian (Asrol Awang), Bernama