Suthen Thomas – Anak Malaysia Dari MMU, Kini Menerajui Pasukan Pembangunan Teknologi Di Grab

TechnologyDigital
31 Jul 2024 • 4:21 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Grab pada hari ini merupakan salah satu syarikat yang terkenal pada peringkat global, dan telah pun disenaraikan di bursa Nasdaq di Amerika Syarikat. Grab telah diasaskan pada tahun 2012 sebagai MyTeksi di Malaysia, sebelum ia dijenamakan kepada Grab pada tahun 2016.

image is not available

Grab menyediakan perkhidmatan seru-pandu yang membolehkan pengguna mendapatkan kenderaan ke sesuatu destinasi. Selain daripadanya, ia turut menambah sokongan untuk melakukan tempahan makanan, tempahan penghantaran barangan, tempahan barangan dari pasaraya, khidmat kewangan, dan sebagainya. Malah, Grab turut telah mengambil-alih pasaraya Jaya Grocer dalam terus mengukuhkan penawaran mereka.

Dengan pelbagai penawaran produk dan perkhidmatan, menjadi tunjang utama untuk segalanya adalah teknologi disebaliknya. Kejayaan Grab boleh disandarkan kepada kebolehan teknologi – dari segi untuk pengguna, peruncit dan pihak lain yang terlibat. Menerajui bahagian pembangunan teknologi di syarikat yang masih muda ini adalah Suthen Thomas.

Suthen Thomas merupakan anak kelahiran Malaysia, dan telah mendapatkan ijazah dalam bidang kejuruteraan perisian melalui Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

image is not available

Suthen telah bersama Grab sejak penubuhan awal. Ketika MyTeksi diasaskan pada 2012 yang lepas, Suthen Thomas telah menjadi ketua teknikal yang menerajui pembangunan aplikasi pada MyTeksi. Ketika itu, Suthen menerajui sebuah pasukan kecil dalam membangunkan aplikasi yang menjadi asas kepada kejayaan Grab sehingga ke hari ini. Ketika itu juga, mereka turut telah bereksperimen dengan Node.js disebabkan oleh keupayaan “event-driven” yang ditawarkan olehnya, selain membolehkan pembangunan diperluaskan dengan baik menggunakannya.

Namun, selepas beberapa tahun, Suthen melanjutkan pengajian dalam bidang Polisi Awam di Harvard Kennedy School pada tahun 2015, dibawah biasiswa Khazanah Global.

Kembalinya dari pengajian berkenaan, Suthen kembali bersama Grab, dan sejak 2022 yang lepas, telah mula menjadi CTO untuk kumpulan Grab. Suthen kini bertanggungjawab dalam visi teknologi untuk Grab secara keseluruhan, selain daripada strategi, pelaksanaan dan perniagaan meliputi untuk penghantaran, pemanduan, dan juga kewangan. Pada masa yang sama, Suthen juga memfokuskan dalam terus mengukuhkan infrastruktur teknikal Grab, serta membawa inovasi yang lebih pantas dalam memenuhi permintaan pengguna dan rakan perniagaan yang lain.

Dengan era kecerdasan buatan juga, Grab tidak ketinggalan dan telah mula melabur pada pembelajaran mesin sejak beberapa tahun yang lepas. Ini termasuk dalam meramalkan perjalanan dan tambang, menguruskan perkhidmatan penghantaran dan pemanduan dengan efisien, serta memperibadikan penawaran mengikut pengguna. Pembangunan teknologi untuk Grab juga dilakukan dalam kelompok yang memfokuskan pelbagai ciri-ciri berbeza – dalam memastikan pembangunan lancar dan tidak memberikan impak kepada pasukan lain. Seperti ramai sedia maklum, penawaran ciri-ciri Grab adalah berbeza mengikut setiap negara. Sebagai contoh, di Indonesia dan Thailand mereka turut mengoptimasikan penghantaran makanan dan juga orang melalui motosikal – yang tiada pada pasaran lain. Perkara yang lebih kurang sama juga untuk perkhidmatan kewangan yang mempunyai perundangan berbeza mengikut negara. Ini semua dijayakan melalui perancangan penggunaan teknologi yang sebaiknya supaya ia tidak bertindih dan menyukarkan dari segi pelaksanaan pada tahap sistem.

image is not available

Beberapa tahun lepas juga, GrabMaps telah dimulakan dengan matlamat untuk membangunkan sistem pemetaan tersendiri yang lebih mesra rakan pemandu dan penghantar, selain turut memastikan data pemetaan sentiasa segar dan terkini – berbeza dengan perkhidmatan lain yang mengambil masa lama untuk mengemaskini sesuatu data.

Pada hari ini, Grab sendiri bereksperimen dengan lebih 700 perubahan pada antaramuka pada sesuatu masa, yang sering melibatkan sejumlah pengguna kecil – sebelum memperluaskan sesuatu perubahan atau ciri-ciri kepada umum. Disamping itu, Grab kini mempunyai data berkapasiti lebih 67PB, yang digunakan oleh pasukan saintis data dalam membangunkan sesuatu ciri-ciri, dan mengoptimasikan perkhidmatan, serta untuk tujuan lain dalam terus menambah-baik penawaran.

Suthen Thomas sendiri menyatakan yang mana beliau gembira menerajui pasukan Grab, dan mencintai arena pembangunan teknikal dan pengaturcaraan sendiri. “Pengaturcaraan adalah seumpama magis dalam dunia nyata, dimana kita boleh bangunkan dan cipta sesuatu yang membantu ramai orang seluruh dunia”.